HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 September 2021

Khazanah boleh kaut untung RM36 bilion dalam pegangan SEA Ltd jika PH tak jual – Najib

 Wartawan MalaysiaGazette

MGF30032021_MALAYSIA-DEMOCRACY-1-5
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Jika Pakatan Harapan (PH) tidak menjual kesemua pegangan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dalam SEA Limited (SEA Ltd) pada tahun 2019, nilai kepentingan 5.0 peratus sayap pelaburan itu dalam SEA akan bernilai AS$8.75 bilion atau RM36 bilion pada hari ini.

Nilai itu jauh berbeza dengan harga RM612 juta yang dijual.

Datuk Seri Najib Razak berkata, Khazanah di bawah kerajaan Barisan Nasional telah melabur ASS$170 juta (RM650 juta masa itu) semasa syarikat SEA Ltd ini berharga AS$$3.5 bilion atau kepentingan sekitar 5.0 peratus dalam syarikat yang memilik Shopee dan online game Garena Free Fire.

”Amatlah sayang sekali kerugian ini akibat sikap mereka yang gemar menjual aset-aset negara,” katanya.

Katanya, kisah SEA Ltd sebenarnya boleh dan patut mencontohi kejayaan pelaburan Khazanah dalam syarikat gergasi e-dagang terbesar dari China, Alibaba pada tahun 2012.

Hasilnya, Khazanah memperoleh pulangan sebanyak US$1.2 bilion (RM5 bilion) berbanding pelaburan sebanyak AS$250 juta sahaja.

Jumlah keseluruha nilai bersih aset Khazanah naik hampir 3 1/2 kali ganda dari RM33.7 bilion pada akhir tahun 2008 kepada RM115.6 bilion pada akhir 2017.

Kadar kenaikan ini adalah jauh lebih tinggi berbanding kadar kenaikan 66% untuk dana pelaburan Temasek Holdings milik kerajaan Singapura bagi tempoh yang sama.

Masuk tangan PH, nilai aset Khazanah terus jatuh RM25 bilion tahun 2018 dan RM19 bilion lagi pada tahun 2019.

”Namun selepas PRU14, kerajaan PH telah jual berpuluh-puluh bilion ringgit aset Khazanah dibina kerajaan BN dahulu termasuk kesemua pegangan SEA Ltd ini dengan harga RM612 juta pada bulan Nov 2019,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Anwar nafi dakwaan serangan seksual, dakwa beberapa individu mahu halangnya jadi PM

 MALAYSIA NOW

Beliau mempersoalkan waktu saman itu dibuat, mengatakan ia dilakukan ketika krisis politik di mana beliau "ada kemungkinan" menjadi perdana menteri.

Anwar Ibrahim menafikan tuduhan serangan seksual terhadapnya oleh bekas kakitangan beliau, mengatakan beliau tidak pernah bertemu dengan Muhammed Yusoff Rawther di Bukit Segambut pada 2 Oktober 2019 seperti yang didakwa dalam saman yang difailkan Julai lalu.

Dalam sebuah kenyataan pembelaan oleh presiden PKR itu hari ini, Anwar berkata tuduhan Yusoff dalam saman tersebut adalah rekaan dengan kerjasama “individu atau individu-individu yang pada masa ini tidak diketahui,” sebagai sebahagian usaha untuk mencemarkan imej beliau menjelang kongres PKR selain mengganggu perjanjian peralihan kuasa dari Dr Mahathir Mohamad kepadanya.

Beliau turut memetik perselisihan antara beliau dan bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali, mengatakan wujud percubaan untuk menentang “kemajuan politik” beliau.

“Khususnya, perselisihan antara kumpulan DSAI dan kumpulan Azmin Ali dan/atau individu-individu yang menentang kemajuan politik (political advancement) dan/atau kepimpinan DSAI telah secara progresifnya membara dan meningkat kepada kemuncak kongres, sewaktu kongres dan selepasnya,” katanya.

Anwar kemudian turut mempertikaikan waktu kejadian yang didakwa Yusoff dan pemfailan saman yang dilakukan pada Julai, mengatakan ketika itu berlaku krisis politik di mana beliau “ada kemungkinan” menjadi perdana menteri.

Beliau merujuk peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri yang mencetuskan kelompongan kuasa pada Ogos lalu di mana ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan menamakan Anwar sebagai calon bagi jawatan nombor satu negara itu.

Bagaimanapun, Anwar gagal mendapatkan sokongan yang cukup dari ahli-ahli Parlimen berbanding Ahli Parlimen Bera Ismail Sabri Yaakob yang kemudian mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 22 Ogos.

“Dalam hal ini, masa guaman ini pada pertengahan Julai 2021 adalah dirancang oleh Yusoff, dan dengan kerjasama individu atau individu-individu yang pada masa kini tidak diketahui, untuk mencemarkan imej politik DSAI dan bagi merosakkan sebarang
kemungkinan DSAI untuk menjadi perdana menteri Malaysia.”

Dalam pada itu, Anwar berkata beliau menawarkan kerja kepada Yusoff di banglo beliau di Petaling Jaya selepas bersetuju dengan kehendak Allahyarham SM Idris yang merupakan pengasas Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

Anwar turut menafikan Yusoff sebagai pembantu penyelidik, mengatakan dia merupakan “sukarelawan junior” yang dipantau oleh kakitangan kanan dan diberikan tugas-tugas seperti menjawab panggilan telefon dan menyambut tetamu.

Beliau turut menafikan dakwaan Yusoff yang mengatakan dia diberikan penginapan di pejabat banglonya di Jalan Gasing.

“Sebaliknya, pejabat tersebut mempunyai kemudahan-kemudahan yang membenarkan staf dan sukarelawan-sukarelawan yang antara lainnya bekerja sehingga lewat untuk menyegarkan diri atau bermalam (jika perlu).”

Menurut Anwar, Yusoff dituduh membuat pembelian yang tidak disahkan menggunakan kad kredit milik seorang pegawai.

Ekoran insiden tersebut, Anwar berkata Yusoff kemudiannya dipindahkan untuk bertugas di Yayasan Aman, sebuah yayasan diketuai beliau dan isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Anwar seterusnya berkata Yusoff adalah “pro-Israel” ketika itu, sambil menambah dia juga memiliki masalah disiplin.

Katanya lagi, Yusoff meletakkan jawatannya kira-kira sebulan selepas surat amaran dikeluarkan oleh Yayasan Aman pada Mei 2019.

Zahid tidak telus ketika lanjut kontrak UKSB, kata bekas TKSU KDN

BERNAMA

Menurut Suriani, Zahid meluluskan pelanjutan kontrak dalam tempoh yang singkat tanpa membuat penilaian prestasi terhadap UKSB.

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi tidak telus dan tidak mengikut tatacara ketika melanjutkan kontrak syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) bagi projek Visa Luar Negara (VLN).

Bekas timbalan ketua setiausaha (TKSU) kementerian dalam negeri (KDN) Suriani Ahmad berkata Zahid, 68, yang juga menteri dalam negeri ketika itu, meluluskan pelanjutan kontrak tersebut dalam tempoh yang singkat tanpa membuat penilaian prestasi terhadap UKSB.

Beliau berkata penilaian itu penting kerana syarikat terbabit akan membawa imej negara dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan semua proses dilaksana dengan betul.

Ketika disoal timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin sama ada permohonan itu tetap diluluskan walaupun tiada penilaian dibuat, Suriani menjawab: “Ya.”

Saksi pendakwaan keempat itu berkata demikian pada hari ketujuh perbicaraan kes Ahmad Zahid yang berdepan 40 pertuduhan rasuah membabitkan sistem VLN.

Wan Shaharuddin: Dalam permohonan ini, adalah UKSB mengikut tatacara?

Suriani: Kalau prosedur kerja, ia mengikut tatacara. Bagaimanapun, dari segi kelulusan ia tidak mengikut tatacara.

Wan Shaharuddin: Walaupun Datuk tidak berpeluang menilaikan prestasi UKSB, kenapa teruskan juga untuk lanjutkan kontrak itu?

Suriani: Kerana arahan daripada Menteri adalah untuk menyambung kontrak. Sebagai penjawat awam, saya akur dengan arahan kerana ketika itu, Ahmad Zahid adalah Timbalan Perdana Menteri.

Suriani juga berkata Ahmad Zahid mengambil tempoh kurang 24 jam untuk meluluskan beberapa permohonan lanjutan kontrak UKSB dengan kerajaan.

Beliau juga berkata surat UKSB bertarikh 17 Oktober 2016 yang memohon kelulusan bagi melanjutkan tempoh kontrak Sistem VLN dan eVisa selama enam tahun telah diluluskan oleh Zahid dan diminitkan pada 18 Oktober 2016.

“Selain itu, surat UKSB bertarikh 15 Mei 2017 kepada Zahid untuk permohonan pelanjutan kontrak One-Stop Centre (OSC) turut diminitkan Zahid ‘laksana lanjutan kontrak’pada 16 Mei 2017,” katanya.

Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan Wan Shaharuddin bahawa tiada keperluan untuk menyegerakan permohonon lanjutan kontrak tersebut.

Katanya permohonan UKSB itu adalah terlalu awal kerana kontrak yang ada mempunyai tempoh tamat yang masih jauh.

Beliau berkata mengikut fasal 2.2.1 Perjanjian Untuk Membekalkan Sistem Bersepadu VLN, syarikat boleh memohon pelanjutan tempoh kontrak tidak kurang daripada enam bulan sebelum tarikh kontrak tamat.

“Tetapi bagi permohonan ini, pihak UKSB telah memohon pelanjutan kontrak terlalu awal iaitu pada bulan Oktober 2016 iaitu sekitar tiga tahun lebih awal daripada tarikh kontrak akan tamat. Oleh itu, pihak KDN tidak mempunyai masa yang mencukupi bagi menilai prestasi UKSB untuk membuat keputusan sama ada kontrak patut dilanjutkan atau tidak,” katanya.

Ketika disoal Ahmad Zaidi Zainal, yang mewakili Zahid, Suriani bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa sistem VLN (kelolaan UKSB) tidak pernah menerima sebarang aduan sehinggalah pentadbiran negara diambil alih oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa Zahid telah menukar keputusan untuk memendekkan tempoh pelanjutan kontrak tersebut iaitu dari enam kepada tiga tahun.

Zahid berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya, selaku pegawai badan awam iaitu menteri dalam negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Perbicaraan di hadapan hakim Mohd Yazid Mustafa bersambung 22 Oktober depan.

Selasa, 28 September 2021

Khalid Samad Jual Tanah Milik KLFA Secara ‘Semburit’ & Malukan Zaman PH?

THE PROFESSOR

Salah seorang yang menjulang idea ini adalah bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) iaitu Khalid Samad yang begitu disegani dengan kemuliaannya.

Namun amat menyedihkan, PH bagaikan dihambur racun dan duri yang berbisa apabila ada sahaja mana-mana menteri dalam PH membuat onar, melanggar aturan yang ditetapkan dan kini diketahui umum.

Misalnya dalam satu posting Che’GuBard Original, beliau mendedahkan bahawa Khalid pernah memohon sesuatu kepada Khalid dan Khalid meluluskan apa yang telah dimohon oleh Khalid.

Jalan ceritanya samalah seperti yang pernah disembangkan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu tentang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak suatu ketika dahulu.

Kini ia bagaikan menjadi ‘tulah’ dan terkenan pada perangai salah seorang pemimpin PH yang cukup lantang dan berkarisma tinggi seperti Khalid Samad yang memiliki aura luar biasa.

Kata Che’GuBard, Khalid Samad kantoi bagi sokongan dan minit arahan kepada KSN / Datuk Bandar ganggu proses ambil alih tanah kerajaan.

“Bukan sahaja tanpa proses tender yang dijanjikan malah siap tulisan tangan menteri terus ganggu pegawai pegawai kerajaan.

“Khalid Samad selaku Presiden KLFA telah meminta DBKL bantuan kewangan lebih RM10 juta. Permohonan Khalid Samad itu telah mendapat ‘minit’ sokongan ‘arahan’ dari Menteri Wilayah Persekutuan,” katanya.

Bukan itu sahaja, Che’GuBard turut mendedahkan ketika Khalid Samad selaku Presiden KLFA, telah ‘terjual’ tanah akedemi KLFA dengan bayaran secara bulanan kepada Jakel.

“Beberapa exco KLFA turut memaklumkan mereka tidak mengetahui langsung mengenai penjualan tersebut dan wujud banyak pertikaian dari segi proses dan nilai.

“Itu belum sebut lagi tanah KLFA yang diberi DBKL kemudian dijual kepada sebuah syarikat pemaju dikenali kroni pemimpin kerajaan sebelum PH.

“Tanah yang dijual itu dikatakan dijual di bawah pasaran kerana syarikat pemaju itu siap buat untung jual kepada pemaju yang lain pula dalam masa singkat untuk dimajukan,” tulis Che’GuBard. SM

Kredit: Che’GuBard Original

Kejutkan ‘Umno lama’ daripada ‘koma’ langkah terbaik, kata Ku Li

Ketidakpuasan hati dalam kalangan ahli mungkin menjadi punca kekalahan 
Umno dalam pilihan raya lalu, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

PETALING JAYA: Langkah terbaik untuk mengembalikan semula semangat perjuangan asal Umno adalah dengan mengejutkan “Umno lama” yang masih dalam “koma”, kata Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau berkata, tindak tanduk kepimpinan Umno sekarang tidak disenangi ramai pihak, justeru langkah tersebut wajar diambil jika sudah tidak ada pilihan atau cara lain untuk memperkuatkan semula kepimpinan parti.

“Semua orang boleh buat parti baharu, tetapi Umno ini mempunyai sejarah dan dokongan yang ramai. Bagi saya kalau tidak ada pilihan kita nak cari langkah yang baik adalah membangkit semula semangat ‘Umno lama’, bila dikejutkan ‘Umno lama’ ini daripada koma ia seolah-olah parti baharu.

“Apa yang dilakukan pemimpin sekarang tidak disenangi, sebab itu ramai menjauh diri, jadi saya fikirkan perkuat kepimpinan Umno,” katanya dalam temu bual bertajuk “Umno sedang koma” bersama Malaysia Gazette malam tadi.

Veteran Umno itu berkata, ketidakpuasan hati dalam kalangan ahli mungkin menjadi punca kekalahan Umno dalam pilihan raya lalu sekali gus membuktikan ramai meninggalkan parti dan tidak mengundi.

“Ramai orang Umno dulu tak mengundi, ini mungkin ada ketidakpuasan hati. Saya tidak pasti kalau mereka sudah hilang roh perjuangan,” katanya.

Tambahnya, “Umno lama” yang diharamkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) ketika era pentadbiran bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad “tidak pernah diharamkan” kerana JPPM tiada kuasa untuk berbuat demikian.

Jelasnya, “Umno lama” yang mewakili mewakili tiga juta lebih ahli di tanah air kita sejak sebelum merdeka, tidak melakukan sebarang kesalahan yang menyebabkan ia diharamkan.

“Walaupun dah diharamkan, ia tidak melakukan sebarang kesalahan atau melanggar mana-mana undang-undang yang menyebabkan ia mesti diharamkan,” ujarnya.

DISYORKAN UNTUK ANDA:

   BERITA PELBAGAI TOPIK SEMASA DALAM ' DIALOG RAKYAT         

Bung mohon maaf guna perkataan ‘bodoh’ di Dewan Rakyat

Bung Mokhtar Radin berkata, ketika berucap beliau tidak menyedari wakil 
rakyat mana yang bangkit mencelah ucapannya menyebabkan beliau membalas 
celahan berkenaan.

KUALA LUMPUR: Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) membuat permohonan maaf secara terbuka di Dewan Rakyat susulan tindakannya menyebut perkataan “bodoh” ketika membahaskan Titah Yang di-Pertuan Agong minggu lalu yang dipercayai ditujukan kepada wakil pembangkang.

Semasa perbahasan di Dewan Rakyat pada 22 Sept lalu, Bung mendakwa ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) bajet pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah telah dipotong menyebabkan beberapa wakil pembangkang berang dan menyerangnya.

Bung kemudian membalas celahan wakil rakyat yang menyerangnya itu sebagai “bodoh”.

“Untuk menghormati Dewan Rakyat ini saya tarik balik, akur dan mohon maaf kepada dewan yang mulia ini,” kata Bung.

Beliau kemudian berkata, ketika berucap beliau tidak menyedari wakil rakyat mana yang bangkit mencelah ucapannya menyebabkan beliau membalas celahan itu dengan perkataan “bodoh”.

“Saya pun tidak tahu semasa sedang berucap, tiba-tiba ada seorang wakil rakyat ‘tangkap’ pembesar suara tanpa berdiri, siapa makan lada dia rasa pedas,” katanya.

Bung membuat permohonan maaf itu selepas diminta oleh Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun.

Azhar membuat arahan itu selepas menerima usul daripada Noorita Sual (PH-Tenom) supaya Bung membuat permohonan maaf di Dewan Rakyat.

RM13 juta mungkin dipindah bagi penyelidikan kanser, kata Mukhriz

Mukhriz Mahathir mengingatkan Muhammad Sanusi Md Nor lebih bijak 
dalam mengeluarkan kenyataan kerana ia mencerminkan imej pentadbiran 
kerajaan negeri.

ALOR SETAR: Pemindahan wang milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah berjumlah RM13 juta ke satu akaun di luar negara seperti didakwa, mungkin berkaitan pelaburan ke dalam sebuah syarikat bio-teknologi yang terbabit menjalankan penyelidikan rawatan kanser, kata Mukhriz Mahathir.

Bekas Menteri Besar Kedah itu berkata, syarikat berkenaan mempunyai ekuiti dimiliki oleh rakyat Malaysia dan agensi kerajaan persekutuan yang terbabit dalam sektor teknologi tinggi.

ADUN Jitra itu dalam kenyataan berkata, ia adalah berdasarkan dokumen pemindahan bank yang ditunjukkan oleh Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Noor dalam sidang media pada 23 September lalu.

Minggu lalu, Sanusi mendedahkan wang milik MBI itu dipindahkan ke akaun Barclays Bank di Kanada ketika Mukhriz menjadi Menteri Besar.

Mukhriz menolak dakwaan bahawa beliau mendapat keuntungan peribadi daripada MBI selain bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.

“Sanusi harus segera membuat laporan kepada pihak berkuasa berkenaan pemindahan wang berjumlah RM13 juta milik MBI jika dirasakan wujud unsur salah guna kuasa.

“Saya juga yakin bahawa kenyataan yang dibuat oleh Sanusi itu adalah bertujuan untuk mencemar nama baik dan imej saya tanpa membuat tuduhan khusus yang boleh mengundang tindakan saman,” katanya.

Mukhriz turut mengingatkan Sanusi bahawa sebarang kenyataan daripada Menteri Besar Kedah bukanlah bersifat pendapat atau pandangan peribadi dan beliau harus lebih bijak dalam mengeluarkan kenyataan tanpa sebarang usul periksa kerana ia mencerminkan imej pentadbiran kerajaan negeri.

Katanya, beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil langkah sewajarnya jika Sanusi terus mengeluarkan kenyataan seperti itu.

Minggu lalu, Sanusi yang ditanya sama ada akan membuat laporan kepada pihak berkuasa menjelaskan, ia terserah kepada mereka untuk menyiasat kerana agensi terbabit “mungkin membaca akhbar”.

PEJUANG syor guna dana COVID-19 bantu peminjam AIM

KUALA LUMPUR: Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) menggesa kerajaan menyediakan peruntukan daripada dana COVID-19 sebagai geran untuk membantu peminjam Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Ahli Majlis Eksekutif Pusat PEJUANG, Armin Baniaz Pahamin, berkata kerajaan juga perlu menyediakan laporan terkini mengenai tunggakan pembayaran oleh peminjam atau Sahabat AIM.

Katanya, ia susulan kenyataan Pengerusi AIM, Datuk Shabudin Yahya baru-baru ini yang seramai 378,507 Sahabat AIM berdepan masalah membayar semula pinjaman berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), akibat penularan COVID-19.

"Lebih 90 peratus peminjam terdiri peniaga kecil-kecilan, golongan Bumiputera dan suri rumah yang terpaksa membayar semula ansuran pinjaman bermula 1 September ini.

"Peniaga mikro ini menyara kehidupan keluarga dengan mengusahakan perniagaan kecil melalui pinjaman daripada AIM dan hasilnya digunakan untuk membayar ansuran pinjaman serta bakinya untuk menampung perbelanjaan harian.

"Mereka amat bertanggungjawab terhadap pembayaran balik pinjaman dan ini terbukti dengan rekod kegagalan bayar balik pinjaman kurang daripada dua peratus sebelum pandemik.

"Ia menunjukkan prestasi lebih baik berbanding kadar kegagalan bayaran balik pinjaman bank," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shabudin sebelum ini, memaklumkan bayaran balik pinjaman Sahabat AIM menunjukkan perubahan ketara berikutan pelaksanaan PKP, yang menyebabkan mereka tidak dapat menjalankan perniagaan.

Selain itu, Armin berkata, bantuan sedia ada tidak akan dapat membantu peniaga kecil untuk kembali beroperasi selepas menutup operasi dalam tempoh agak agak lama.

Katanya, pelbagai bantuan turut disalurkan AIM seperti moratorium automatik selama 16 minggu ketika PKP pertama, penangguhan bersasar sehingga Oktober 2020 membabitkan 12,568 peminjam, selain moratorium automatik sehingga Ogos 2021.

"Bagaimanapun, kelangsungan perniagaan mereka masih tergugat kerana bantuan itu hanya penangguhan pinjaman tetapi peniaga kecil memerlukan suntikan modal untuk kembali beroperasi.

"Tanpa geran untuk peminjam AIM, kami khuatir ramai akan tergolong dalam kategori gagal membayar balik pinjaman (NPL) dan berkemungkinan bankrap serta menjejaskan masa depan peniaga," katanya.

Apa berlaku dalam kes Guan Eng?

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR 
 

KETIKA bekas Perdana Menteri Dato’ Seri Najib didakwa di mahkamah sejurus selepas PH memerintah dahulu, media perdana dan hampir seluruh media alternatif dan media sosial terutama yang pro PH melimpahkan liputan menyeluruh. 

Terbit pelbagai ulasan dan analisa seolah Najib ketika itu telah dituduh dan didakwa malah didapati bersalah oleh media sedangkan perbicaraan baru di peringkat awal. Demikianlah gelagat PH ketika berkuasa.

Anehnya semalam apabila mahkamah mendengar kes rasuah melibatkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng tidak pula mendapat liputan meluas sebagaimana zaman PH dulu.

Dalam akhbar The Star semalam dilaporkan semasa di mahkamah kelmarin beberapa pertukaran mesej WhatsApp antara Zarul Ahmad, Pengarah Eksekutif Kanan Consortium Zenith Construction dan seorang ahli perniagaan G.Gnanaraja didedahkan.

Salah satu tuduhan terhadap Guan Eng adalah bahawa beliau telah menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang bagi memberi projek bernilai RM6,341,383,702 kepada syarikat Zarul dengan menerima sogokan RM3.3juta.

Berikut mesej dari Zarul ke Gnanaraja pada 18 Ogos 2017 yang didedah di mahkamah:

“Aiyoo sir, PM went to whack my tunnel project n this Tony Pua whack him back.”

(Aiyoo Tuan, PM belasah projek terowong saya dan Tony Pua belasah beliau (PM) balik)

Berikut pula pada 20 Ogos 2017:

“CM called me and he look for the soonest time to come over to your house.”

(Ketua Menteri hubungi saya dan dia sedang cari masa terdekat untuk berkunjung ke rumah anda)

Dan pada 28 Ogos 2017:

Mahkamah diberitahu Zarul sedang mengatur kunjungan Guan Eng ke rumah Gnanaraja (perhatikan waktunya).

“Sir Im waiting for him near Tropicana. His function is still on.”

(Tuan saya masih menunggunya (Guan Eng) berhampiran Tropicana. Majlis (yang dihadiri Guan Eng) belum selesai.)

Hampir tengah malam Zarul mesej lagi:

“Sir he just texted me. He says one more hour.Are you ok with it sir.”

(Tuan dia (Guan Eng) baru text saya. Katanya dalam sejam lagi. Tuan ok tak (dengan waktu) itu )

Dan tepat jam 12:52 pagi 29 Ogos 2017 Zarul beri mesej:

“We are OTW sir.”

(Kami (Zarul dan Guan Eng) sedang dalam perjalanan (ke rumah Gnanaraja))

Jika benar begitu, hebat Ketua Menteri Pulau Pinang kerana selepas tengah malam iaitu hampir ke jam 1 pagi masih berkunjung ke rumah seorang ahli perniagaan ditemani Pengarah Syarikat yang berjaya dapat kontrak terowong di Pulau Pinang. 

Perbicaraan masih berjalan. Apa pun kita tunggu keputusannya kelak.– HARAKAHDAILY