HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 Mei 2014

Ahmad Maslan gesa Adun Seri Delima tarik balik kenyataan dianggap hina Melayu

THE MALAYSIAN INSIDER

 
Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan (gambar) hari ini menggesa Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima RSN Rayer supaya menarik balik dan memohon maaf atas kenyataan kesatnya yang dilihat sebagai biadap dan menghina kaum Melayu di negara ini.

Ahmad berkata kenyataan anggota DAP berkenaan menggambarkan tahap pemikirannya sebagai seorang wakil rakyat yang tidak beretika, tidak sensitif dan rendah akal budi.

"Individu terbabit (Rayer) perlu bertindak selaku seorang 'budiman', tarik balik dan membuat permohonan maaf ke atas kesilapannya mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Rakyat Malaysia amat bersikap pemaaf dan beliau tidak seharusnya berdegil dengan tidak menunjukkan kekesalan atas perbuatannya," katanya.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata demikian kepada pemberita selepas program Santai Pemimpin Bersama Mahasiswa di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di Johor Bahru, hari ini.

Selasa lepas, Rayer mengeluarkan perkataan kesat "Umno celaka" ketika membahaskan ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dengan mendakwa beberapa pemimpin Umno di negeri berkenaan cuba menghasut rakyat melalui satu demonstrasi dengan mengapi-apikan peristiwa 13 Mei 1969. – Bernama,

Tiada ulasan: