HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 Mei 2014

Kes Rayer jadi platform Umno bangkit isu kaum?


 Suhaizan Kaiat  
Suhaizan Kaiat


SHAH ALAM - Tindakan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan memberi amaran akan membakar pejabat DAP semalam serta insiden menyerbu masuk ke persidangan Dun Pulau Pinang oleh NGO dan Pemuda Umno negeri baru-baru ini adalah keterlaluan.

Malah menurut Pemuda Pas, tindakan itu juga jelas bertujuan untuk membangkitkan agenda perkauman selain mengampu pimpinan tertinggi Umno.

"Pemuda Umno memang sengaja mencari peluang untuk membangkitkan agenda perkauman kerana mereka faham sokongan masyarakat Melayu khususnya di luar bandar terhadap pemimpin Melayu.

"Mereka menyebarkan dakwaan dalam PRU13 lepas bahawa kononnya DAP akan berkuasa jika sokong PR, sebab itulah rakyat tidak mengundi PR," ujar ketuanya, Suhaizan Kaiat menerusi satu kenyataan media.

Menurutnya lagi, Umno sememangnya sentiasa mencari peluang untuk menyuntik agenda perkauman dalam minda masyarakat tempatan untuk meraih sokongan rakyat.

"Sejarah telah membuktikan peristiwa 13 Mei 1969 atau tangkapan ISA akibat isu perkauman sebelum ini menguntungkan Umno, rakyat tidak harus membiarkan Umno terus mempengaruhi pemikiran kita sehingga menyebabkan perpecahan kaum dan kacau-bilau," katanya.

Justeru itu, beliau menyeru kepada seluruh masyarakat khususya golongan anak muda agar tidak mudah terpengaruh dengan agenda yang disebarkan oleh Umno.

Untuk rekod, insiden di ibu Pejabat DAP dan 'serangan' di Dun Pulau Pinang baru-baru ini berpunca daripada dakwaan bahawa Adun Seri Delima, RSN Rayer telah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pemimpin parti Umno ketika berbahas.

Tiada ulasan: