Sebelas individu yang disyaki terbabit dalam aktiviti militan ditahan kerana cuba merekrut warga tempatan untuk menjadi pengebom berani mati di luar negara, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
"Kalau mereka nak pergi, pergilah tapi jangan ancam keselamatan negara.
"Jangan merekrut anak-anak muda kita sebagai suicide bombers (pengebom berani mati).
"Kalau mereka nak korban, korbankan diri mereka sendiri.
"Jangan mengancam keselamatan negara kita," katanya dalam sidang media tengah hari ini.
Menurutnya, polis menahan individu-individu terbabit kerana aktiviti mereka mempunyai elemen "mengancam keselamatan negara dan rakyat".
Ditanya wartawan tentang elemen yang dimaksudkan itu, Khalid enggan mengulas lanjut kerana menurutnya mereka yang ditahan kini disiasat polis.
"Bila ada unsur-unsur dan elemen itu kita bertindak.
"Berbagai-bagai cara (mereka lakukan), tak payahlah saya ulas terperinci kerana perkara ini masih dalam siasatan," katanya.
Beliau seterusnya menasihatkan golongan muda agar tidak mudah terpengaruh dengan pujukan kumpulan-kumpulan sebegini.
"Kepada anak muda usahlah terpengaruh dengan pujukan kumpulan militan ini," katanya lagi.
Sehingga petang semalam, polis telah menahan 11 orang yang disyaki anggota kumpulan militan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jumlah itu bukan satu jumlah yang muktamad kerana polis masih memburu saki-baki mereka yang disyaki dan kini berada dalam senarai Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sementara itu, Khalid menjelaskan yang polis sedang bekerjasama dengan erat bersama pasukan keselamatan China dan Filipina untuk memastikan dua individu yang diculik dari Semporna baru-baru ini selamat.
Dua individu itu merupakan seorang pelancong dari China dan seorang warga Filipina, diculik dari Singamata Reef Resort awal bulan April lalu dan dibawa ke selatan Filipina dan dijadikan tebusan.
"Kita masih berunding dengan rakan-rakan kita di Filipina dan China.
"Perkembangan terbaru yang saya perolehi dari rakan saya di Filipina, mangsa selamat dan kita sedang melakukan sebanyak mungkin yang kita boleh untuk memastikan mangsa selamat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan