MALAYSIAKINI
Keperluan menghantar notis sepuluh hari kepada pihak polis seperti
ditetapkan di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 masih kekal
berkuatkuasa, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Menurutnya, ini kerana keputusan mahkamah yang menetapkan peruntukan itu
sebagai tidak sah baru-baru ini sedang dirayu oleh pejabat peguam
negara.
"Jadi apabila perkara ini ada dalam peruntukan undang-undang, ia masih relevan, masih bagus.
"Jadi kita akan menguatkuasakan undang-undang itu.
"Selagi perkara itu di bawah rayuan, peruntukan undang-undang itu masih relevan dan kita akan menguatkuasakannya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai acara menembak
PDRM bersama media sempena memperingati Hari Polis ke-207 di Cheras,
tengahari ini.
25 April lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Seksyen 9(5) Akta
Perhimpunan Aman 2012, yang menjadikan kegagalan penganjur memberi notis
10 hari sebagai satu kesalahan, adalah tidak munasabah kerana ia
terjumlah kepada larangan efektif terhadap perhimpunan segera dan
spontan.
Panel itu membenarkan rayuan ADUN Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad bagi
membatalkan pertuduhan menganjurkan perhimpunan Black 505 di Stadium
Kelana Jaya pada 8 Mei tahun lepas terhadapnya.
Bagaimanapun, polis sudah memula siasatan terhadap perhimpunan pada 1
Mei lalu, termasuklah kegagalan memberi notis 10 hari dari tarikh
berhimpun seperti dikehendaki di bawah Seksyen 9(1) akta itu.
"Di bawah akta ini, pasukan keselamatan polis kita harus facilitate
(memudahcara) himpunan, tetapi sungguh pun begitu kumpulan ini perlu
mematuhi undang-undang.
"Dalam hal ini kita telah memulakan siasatan kerana pelanggaran beberapa
syarat bawah Akta Perhimpunan Aman antaranya kerana tidak memberi
notis," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan