Perdana menteri akhirnya memecahkan
kesunyian berhubung siri bantahan ganas anggota Pemuda Umno dengan
menggesa pergerakan itu tidak bertindak secara keterlaluan ekoran
kenyataan kontroversi pemimpin DAP.
“Saya gesa kesemua anggota Umno tidak bertindak secara keterlaluan
kerana ia melanggar peraturan atau dianggap tidak bertanggungjawab,”
tulis Datuk Seri Najib Razak dalam Facebook hari ini.
Najib kini berada di luar negeri untuk lawatan kerja. Beliau hari ini berada di Kazakhstan selepas di Jepun sebelum ini.
Perdana menteri menggesa anggotanya tidak mengotorkan nama baik parti
ekoran tiga bantahan ganas sejak Rabu terhadap Anggota Dewan Undangan
Negeri (ADUN) DAP RSN Rayer yang menggelarkan pemimpin Umno celaka.
“Setiap reaksi patut dibuat dalam batas undang-undang dan kita mesti
berusaha untuk terus menunjukkan imej baik parti, mari kita jaga nama
baik parti,” katanya.
Najib juga dalam masa yang sama mengutuk keras kenyataan yang dibuat
Rayer pada Selasa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
“Saya mengutuk keras kenyataan menghina anggota DAP yang sama sekali tidak patut dikeluarkan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan