HALAMAN SANTAI
Ahad, 25 Mei 2014
Pembangkang hanya bela penjenayah, kata Zahid kepada pengundi polis Teluk Intan
Pakatan Rakyat hanya memperjuangkan hak penjenayah, barangkali kerana mereka ditaja kumpulan jenayah semasa pilihan raya umum (PRU) lalu, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.
Bercakap di hadapan kira-kira 200 anggota polis di Teluk Intan, Zahid berkata pembangkang tidak berminat memperjuangkan hak polis apabila bekas ahli Parlimen Bukit Gelugor, mendiang Karpal Singh tidak menziarah anggota polis di kawasannya yang terkorban semasa bertugas.
"Seorang polis mati di tangan gengster di Melaka dan kebetulan dia orang Bukit Gelugor.
"Apabila jenazahnya dibawa balik ke Pulau Pinang, ahli parlimen itu tidak pernah datang melawat.
"Siapa yang pergi? Hanya mereka yang ambil berat pergi. Mereka yang mendakwa memperjuangkan hak asasi manusia tidak pernah datang jenguk sekali pun semasa anggota polis itu cedera. Ini bermakna mereka hanya bela penjenayah.
"Mereka bela kerana orang itu juga yang tolong mereka, mungkin semasa PRU lalu.
"Mereka tak pernah datang melawat polis lain yang terkorban, tak mengapa beri saja bantuan kepada anak-anak yatim," katanya dalam program bersama polis.
Katanya, semasa berbahas mengenai tahanan tanpa perbicaraan di Parlimen, Karpal menggesa agar hak penjenayah dilindungi.
"Saya tanya dia bagaimana pula dengan hak polis? Apa yang akan terjadi?
"Bagaimana jika polis ditembak atau dicederakan? Hak polis perlu diutamakan dulu, bukan hak penjenayah," tegasnya.
Selain itu, beliau turut menjamin badan berkuasa yang berada di bawah jagaannya akan dinaik taraf kereta peronda dan lebih banyak uniform baru.
"Saya akan pertahankan hak semua anggota. Uniform adalah keperluan asas yang mencerminkan imej dan memberi kita lebih semangat untuk bekerja," katanya.
Beliau sempat membetulkan tanggapan orang ramai terhadap kenyataannya semalam mengenai uniform yang dijanjikan kepada anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Menyalahkan media memutarbelitkan kenyataannya, Zahid berkata semua anggota Rela yang berkhidmat dalam kawasan Barisan Nasional (BN) akan diberi uniform baru daripada wakil rakyat kawasan masing-masing.
"Bukannya saya tak nak bagi tetapi memandangkan setiap kawasan ada anggota Rela, saya sudah mengarahkan setiap kawasan Parlimen BN menggunakan sebahagian daripada peruntukan RM50,000 untuk membelikan anggota mereka pakaian seragam baru.
"Disebabkan Teluk Intan kawasan DAP, ahli Parlimen mereka tak bagi baju percuma tetapi perkara ini boleh berubah jika Datuk Mah Siew Keong menang dalam undian," katanya.
Mah menentang calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud dalam pilihan raya kecil 31 Mei ini.
Parlimen Teluk Intan mempunyai 60,349 pengundi berdaftar; 38.6% daripadanya Melayu, Cina (41.9%) dan India (19%).
Daripada jumlah itu, 410 orang adalah pengundi awal dan 12 pengundi pos luar negara.
DAP buat pertama kali menang kerusi Teluk Intan (dulunya dikenali Teluk Anson) pada 1969 apabila Chan Fu King mengalahkan Menteri Kesihatan daripada MCA Dr Ng Kam Poh.
Manakala Mah pula pernah menang kerusi itu semasa PRU 1999 dan 2005, namun tewas di tangan DAP, M Manogaran pada 2008 dan mendiang Seah Leoh Peng pada 2013.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
Bila kata CELAKA, marah tapi memang celaka betul. Karpal Singh bukankah sudah meninggal, bagaimana dia hendak menjawab segala tohmahan kamu Zahid? Semasa dia ada dulu kenapa tak berani nak timbulkan?
Catat Ulasan