MALAYSIAKINI
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menjelaskan bahawa tindakan
anggotanya memasang pita pelekat di rekahan jalan dalam kejadian
runtuhan terowong petang di Jalan Imbi semalam adalah untuk mengesan
pergerakan tanah.
“Tanda-tanda bahaya seperti pokok tumbang, pecahan di tanah dan resapan air dari tanah yang menjunam masih amat berbahaya.
"Sebarang pergerakan jentera berat boleh menyebabkan tanah runtuh. Dan
cara yang sebaik-baiknya ialah untuk mengawasi pergerakan tanah yang
sedang berlaku di lokasi tersebut,” kenyataan jabatan itu dipetik.
Kenyataan di Facebook itu bagi menjawab gambar menunjukkan anggotanya
memasang pita tersebut di kawasan rekahan jalan – yang menjadi bahan
jenaka di laman sosial.
Pengguna laman sosial antaranya bergurau dengan berkongsi gambar
berkenaan dengan tulisan yang menunjukkan seolah-olah anggota penyelamat
tersebut berbuat demikian untuk mengelakkan rekahan menjadi lebih
buruk.
“Jalan retak ni kita sambung dengan selotep (pita pelekat) dulu,” tulisan di gambar itu dipetik.
Jabatan bomba dalam kenyataannya menegur: "Ia bukan untuk menjadi bahan gelak ketawa atau gurau senda!”
Jabatan tersebut juga menegur pengguna sosial agar memahami teknik yang dijalankan sebelum memberi ulasan berbentuk gurauan.
Selain itu, para pengguna Internet turut dikesan menyebar gambar
diubahsuai untuk berjenaka – antaranya dengan tambahan gambar raksasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan