NURUL IZZAH
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar hari ini, menggesa agar Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menarik balik cadangan beliau untuk mewujudkan undang-undang menghukum orang gelandangan dan pemberi sedekah.
Nurul Izzah berkata, dalam hal ini kerajaan perlu berusaha lebih giat untuk membasmi kemiskinan seterusnya gelandangan dari puncanya, dan bukannya menghilangkan simptomnya.
“Kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa suatu undang-undang akan dilaksanakan bagi mengekang budaya meminta sedekah adalah suatu tindakan drastik wajar dikecam kerana isu gelandangan serta peminta sedekah ini berkait rapat dengan isu kemiskinan tegar; yang buat masa ini usaha kerajaan dalam menyelesaikannya amat mengecewakan.
“Dalam kelima-lima dasar Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (Dasar Wanita Negara 2009, Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara, Dasar Sosial Negara , Dasar Warga Emas Negara dan Dasar Kebajikan Masyarakat Negara), tiada satu pun dasar yang diperuntukkan khas untuk masalah orang tidak berumah/gelandangan.
“Oleh itu saya menggesa Yang Berhormat Datuk Seri Tengku Adnan agar menarik balik cadangan beliau ini,” katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.
Tengku Adnan baru-baru ini memberi amaran kepada pemberi dan peminta sedekah bakal berdepan hukuman seperti denda apabila undang-undang berkaitan kegiatan mengemis di ibu negara diperketat.
Tengku Adnan berkata, langkah itu akan dilaksana di beberapa tempat tumpuan bagi mengurangkan budaya meminta sedekah yang mencemar imej ibu negara.
Menyentuh hal yang sama, Nurul Izzah mencadangkan agar kerajaan belajar dari negara Eropah perihal mengurus golongan gelandangan.
“Di United Kingdom, Parlimen mereka telah meluluskan sebuah dana £400 juta (RM2.2 Billion) untuk menubuhkan suatu projek pada tahun 2010 yang menghimpunkan 8 jabatan kerajaan diketuai oleh Jabatan Komuniti dan Kerajaan Tempatan (Department for Communities and Local Government) bagi menangani isu gelandangan.
“Usaha Ini dibantu Perkhidmatan Khidmat Nasihat Gelandangan Kebangsaan (National Homelessness Advice Services) dengan kerjasama Shelters bagi memberikan khidmat konsultan, latihan kepada NGO-NGO yang ingin membasmi gelandangan, nasihat mengenai hutang gadaian (mortgage debt advice) dan juga penerbitan isu-isu mengenai masalah perumahan dan golongan orang tidak berumah, untuk membantu ke arah meningkatkan kualiti kehidupan mereka.
“Kita juga mampu belajar dari usaha badan bukan kerajaan di Eropah seperti ‘European Federation of National Organisations working with the Homeless’ (FEANTSA), yang mempunyai 130 organisasi yang bekerja di 30 negara di benua itu.
“Antara yang dibincangkan secara ekstensif adalah masalah perkhidmatan, perlindungan kesihatan dan sosial, hak keatas rumah dan perancangan bandar, pengangguran, dan sokongan sosial yang didokong penuh institusi EU, Council of Europe and United Nations.
“Dalam kesemua yang dibincangkan ini, tiada satu pun yang menyebut tentang polisi untuk menghukum peminta sedekah apatah lagi ingin menyaman pemberi sedekah kepada gelandangan ini. Mereka malah bertungkus lumus bersama NGO-NGO untuk menyelesaikan masalah ini dengan kajian yang rapi, akademik dan mendapat sokongan sepenuhnya dari kerajaan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan