Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Ketika pemergian Teoh Beng Hock
menjelang genap lima tahun dan pengetahuan berhubung isu hak asasi
manusia di Malaysia sedikit meningkat, masih banyak yang perlu
diperbaiki demi menegakkan demokrasi di negara ini.
Peguam Hak Asasi Syahredzan Johan berkata, ugutan dan
penderaan fizikal oleh pihak berkuasa untuk menakutkan rakyat dilihat
tidak lagi berkesan, malah ramai diantara mereka semakin sedar dan mahu
berpartisipasi untuk menegakkan kebenaran.
Namun menurut Syahredzan, isu kebebasan bersuara dan
ektremisme agama nampaknya bertambah buruk terutamanya selepas Umno-BN
hilang majoriti dua pertiga kerusi Parlimen sejak tahun 2008.
“Selepas lima tahun semakin ramai rakyat Malaysia yang
berani keluar dalam pelbagai siri himpunan dan jelas menunjukkan
kesedaran kita semakin meningkat dan sanggup bersuara menyatakan haknya
seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Malangnya dari sudut lain iaitu kes kematian dalam tahanan
meningkat. Setakat tahun ini sahaja terdapat sepuluh kes sedemikian
dilaporkan,” katanya dalam forum ‘Lima Tahun Selepas Pemergian Teoh Beng
Hock: Hak Asasi Manusia dan Keadilan Politik’ di Dewan Himpunan Cina
Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH), semalam.
Syahredzan juga membidas tindakan berat sebelah polis dan
pendakwa menggunakan Akta Hasutan untuk menutup mulut penentang dasar
kerajaan, sebalinya mendiamkan diri terhadap kumpulan pelampau ekstrim
kaum dan agama.
“Amat menghairankan apabila tidak ada sebarang tindakan
dikenakan terhadap organisasi seperti Perkasa, Isma dan beberapa
pimpinan Umno yang mengeluarkan ucapan menghasut serta penuh kebencian.
“Apa yang mereka lakukan itu tidak pula dianggap sebagai menghasut,” ujarnya.
Sementara itu, merujuk kepada misteri pemergian Beng Hock,
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang kesal dengan sikap Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Razak yang memungkiri janji akan melakukan segala yang
mungkin untuk mencari punca kematian.
“Kenyataan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM)
baru-baru ini bahawa ketiga-tiga pegawai terlibat seperti dinyatakan
dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) telah dibersihkan
namanya turut memeranjatkan dan tidak boleh diterima sama sekali,” kata
Kit Siang
Sementara itu, peguam mewakili keluarga Beng Hock, Gobind
Sing Deo pula menyatakan individu yang menyebabkan kematian semasa
siasatan sepatutnya tidak dilepaskan begitu saja dan dikenakan tindakan
sewajarnya.
“Suspek jenayah itu harus bertanggungjawab dan keluarga
mangsa perlu diberikan akses penuh kepada maklumat untuk mengambil
tindakan undang-undang selanjutnya.
“Pegawai penyiasat wajar diberi kuasa untuk menjalankan
siasatan bebas dengan bantuan kakitangan sokongan seperti pakar patologi
forensik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan