MALAYSIAKINI
Mahkamah Persekutuan memutuskan tiada keperluan untuk memanggil
saksi-saksi dalam saman pelanggaran kontrak yang dibawa kerajaan negeri
Kelantan terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) berhubung royalti
minyak.
Oleh itu, saman itu akan dibawa semula ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
untuk diselesaikan dengan cara menentukan dari sudut undang-undang tanpa
perbicaraan penuh mengikut Perintah 14A Kaedah-kaedah Mahkamah 2012.
Saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 22 Julai di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Rosilah Yop.
Dalam keputusan itu, lima anggota panel hakim Mahkamah Persekutuan yang
diketuai Tan Sri Abdull Hamid Embong berkata tiada pertikaian fakta
dalam kes ini yang memerlukan mahkamah memanggil saksi-saksi untuk
memberi keterangan.
Hakim Abdull Hamid yang mempengerusikan panel itu dengan Hakim Tan Sri
Suriyadi Halim Omar, Datuk Ahmad Maarop, Datuk Hasan Lah dan Datuk
Zainun Ali semalam berkata mahkamah mendapati rayuan dalam saman itu
adalah komprehensif dan mencukupi bagi mengecualikan mengadakan
keterangan lisan dan saksi-saksi.
"Tafsiran perjanjian itu (royalti minyak)) tidak memerlukan testimoni
saksi-saksi dan tidak ada keperluan untuk memanggil saksi memberi
keterangan," katanya.
Hakim Abdull Hamid juga berkata mahkamah bersetuju dengan keputusan
Mahkamah Rayuan dalam mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 18
Januari 2012 yang membenarkan permohonan Petronas dan kerajaan
persekutuan supaya saman itu dilupuskan.
"Kami dapati tiada kesilapan salah arah di pihak hakim Mahkamah Tinggi
dan oleh itu tidak memerlukan campur tangan mahkamah (Mahkamah
Persekutuan)," kata Hakim Abdull Hamid.
Oleh itu, beliau menolak rayuan kerajaan negeri Kelantan terhadap
keputusan Mahkamah Rayuan pada 26 April, 2012, yang mengekalkan
keputusan Mahkamah Tinggi dan memerintahkan kerajaan negeri membayar
RM150,000 sebagai kos kepada Petronas.
Mahkamah juga menolak rayuan kerajaan negeri Kelantan berhubung penemuan dokumen berhubung saman itu.
Pada 30 Ogos, 2010, kerajaan negeri Kelantan memfailkan saman
pelanggaran kontrak terhadap Petronas menuntut Petronas membayar
tunggakan dan pembayaran tunai masa depan bagi petroleum yang
dikeluarkan di pesisir negeri itu seperti ditetapkan dalam perjanjian
carigali petroleum.
Kerajaan negeri Kelantan turut menuntut gantirugi dan kos. Bagaimanapun,
ia tidak meletakkan jumlah keseluruhan yang dituntut daripada Petronas.
Dalam saman itu, kerajaan negeri menyatakan bahawa Perjanjian Petroleum
Kelantan yang dimeterai pada 9 Mei, 1975, jelas menyebut bahawa Petronas
perlu membayar secara tunai lima peratus daripada hasil minyak sama ada
daripada usaha carigali di kawasan pantai atau luar pantai.
Ia menyatakan satu perenggan daripada perjanjian itu menyebut bahawa
pembayaran hendaklah dibuat secara tunai dua kali setahun pada atau
sebelum 1 Mac dan pada atau sebelum 1 September.
Dalam saman itu, kerajaan negeri Kelantan menamakan Petronas sebagai
defendan tunggal. Bagaimanapun, kerajaan persekutuan berjaya dalam
permohonan untuk menjadi pencelah dan dinamakan defendan kedua dalam
saman itu.
Peguam Tommy Thomas mewakili kerajaan negeri Kelantan manakala Tan Sri
Cecil Abraham mewakili Petronas dan peguam kanan persekutuan Suzana Atan
dan Shamsul Bolhassan mewakili kerajaan persekutuan.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan