KUCHING: Jamilah Noriah Abang Aji Anuar, 72, terlalu sebak untuk
becerita mengenai anaknya Ariza Ghazalee, 46, menantunya Tambi Jiee, 49,
bersama keempat-empat anak mereka yang menjadi penumpang pesawat MH17
yang terhempas di Ukraine berhampiran sempadan Rusia.
Dengan suara tersekat-sekat beliau memberitahu anak, menantu bersama
cucu-cucunya itu sedang dalam perjalanan pulang ke tanah air selepas
lebih tiga tahun berada di luar negara.
Beliau berkata anaknya mengikuti suami yang bertugas dengan sebuah
syarikat milik Shell di Kazakhstan dan suami anaknya itu baru mendapat
kebenaran untuk berpindah tempat kerja dari Kazakhstan ke Kuala Lumpur.
Beliau yang ditemui di kediamannya di Samariang di sini berkata sebelum
ini anaknya begitu ceria hendak menyambut Aidilfitri di tanah air,
malah sudah mula menempah baju warna sedondon putih untuk hari lebaran
nanti.
Menurutnya pengesahan mengenai anaknya sekeluarga menjadi penumpang
pesawat itu hanya diperolehnya awal pagi Jumaat dan hatinya bertambah
sebak menyaksikan cebisan pesawat berselerak disiarkan di televisyen.
Kediamannya di sini sudah mula dipenuhi sanak saudara, termasuk
daripada keluarga menantunya sejak awal pagi dan suasana pilu memang
tidak dapat digambarkan, susulan tragedi berkenaan.
Ariza merupakan anak kedua daripada lima beradik mengambil cuti tanpa
gaji selama tiga tahun daripada tugasnya sebagai jurutera di Bintulu
untuk bersama suaminya di Kazakhstan.
Kakak Ariza, Madzalina Ghazalee, 47, berkata keluarganya mulai kecoh
mengenai kemungkinan Ariza bersama keluarganya menaiki kapal terbang
yang dilaporkan terhempas selepas ditembak, tengah malam tadi, namun
tiada siapa yang dapat mengesahkannya.
Beliau berkata pada awal pagi ini, keluarnya mendapat maklumat dan
pengesahan daripada Penerbangan Malaysia (MAS) mengenai adiknya bersama
keluarga adalah penumpang pesawat malang berkenaan.
Madzalina berkata, Ariza bersama suami dan anak-anak mereka Muhammad
Afif, 19, Muhammad Afzal, 19, Marsha Azmeena, 15 dan Muhammad Afruz, 13,
dijadual tiba di Kuala Lumpur awal pagi ini dan berlepas ke Kuching
tengah hari, untuk sampai di sini kira-kira 2 petang ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan