Oleh Shawaliah Hadir
PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) perlu bertanding di Permatang Pauh untuk menguji popularitinya jika pilihan raya kecil diadakan dalam masa terdekat, kata Pensyarah Sains Politik dan Kajian Politik UITM, Profesor Madya Dr Shaharuddin Badaruddin.
Walaupun beliau berpendapat kedudukan pembangkang kukuh di kawasan itu, persaingan sihat perlu terus diwujudkan.
Pada masa sama, BN perlu menggunakan peluang itu untuk meninjau bagaimana sokongan akar umbi kepada parti itu di Permatang Pauh.
"Tapi Umno perlu tetap tunjukkan (sikap) 'gentleman' dia dalam politik. Kalau berlaku PRK bertandinglah, untuk uji populariti dengan rakyat.
"Walaupun tidak ada harapan, tetapi walaupun satu undi ia petanda dalam politik yang sesuatu. Parti perlu buat keputusan," kata penganalisis politik itu ketika ditemubual oleh Antarapos.
Selain daripada sejarah kedudukan parti pembangkang yang mula bertapak semenjak 1999, Dr Shaharuddin melihat keputusan mahkamah yang mensabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalah meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan akan memberi kesan kepada BN.
"Tengok sejarahnya, semenjak 1999 sejauh mana Umno boleh pergi, 2004, tipis majoritinya tapi tetap kalah, itu waktu BN berada di puncak paling tinggi.
"2008 majoriti belas-belas ribu, kemudian 2013 sama juga. Permatang Pauh ini memang akar umbi kepada pembangkang.
"PAS bertanding di situ, ianya tempat di mana letaknya tempat PAS, 1974 - 1978 masih dimenangi oleh PAS. 1982 apabila Anwar Ibrahim bertanding barulah kerusi itu pergi kepada Umno dan ianya berada di tangan Anwar sehingga peristiwa 1998.
"Kita kena tengok suasana latar belakang suasananya boleh atau tidak Umno membuat kejutan.
"Bagi saya dengan peristiwa Anwar dipenjarakan kali ketiga, sensitiviti rakyat akan tetap berada di situ," jelasnya.
Kerusi Parlimen Permatang Pauh dijangka kosong dalam tempoh 14 hari berikutan Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap penyandangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang kerana bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya.
Permatang Pauh terletak di dalam Parlimen Permatang Pauh (P44) yang mana ia terbahagi kepada 3 Dewan Undangan Negeri iaitu Seberang Jaya, Penanti dan Permatang Pasir.
Bermula pada 1978, Permatang Pauh dipegang oleh wakil rakyat PAS (Zabidi Ali), kemudian bermula 1982 hingga 1995, dipegang oleh Anwar yang pada masa itu masih lagi bersama BN sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Pada 1998 Anwar disingkir daripada Kabinet dan dipenjarakan selama sembilan tahun atas dakwaan bersubahat dengan adik angkatnya Sukma Darmawan melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap Azizan Abu Bakar di unit No. 10-7-2, di Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini pada satu malam, pukul 7.45, antara Januari hingga Mac 1993.
Ekoran pemenjaraannya isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail nekad untuk bertapak di situ. Sehingga 2008 beliau kemudian mengosongkan kerusi itu untuk Anwar apabila Ketua Pembangkang untuk dibebaskan.
Anwar kembali ke Parlimen dengan menewaskan calon BN Arif Shah dengan majoriti sebanyak 15,671 pengundi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan