Roketkini.com
PETALING
JAYA: Pembatalan projek lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX)
kini berdepan rintangan apabila Kerajaan Persekutuan melalui Menteri
Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof mengatakan syarikat konsesi projek itu
menepati syarat yang dipersetujui bersama kerajaan.
ADUN Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran dalam kenyataannya hari
ini mempersoalkan tindakan Pusat yang seolah-olah mengenepikan peranan
kerajaan Selangor sekaligus tidak menjaga kepentingan rakyat Petaling
Jaya yang terkesan akibat KIDEX.
“Betul, menteri itu kata perjanjian konsesi antara syarikat pemaju dengan kerajaan pusat dipenuhi.
“Namun beliau harus ingat, kerajaan negeri mengambil kira kepentingan rakyat juga mengenakan syarat terhadap pemaju.
“Di sini beliau salah kerana tak peduli tiga syarat utama kerajaan Selangor,” ujar Rajiv.
Pembatalan KIDEX sebelum ini diumumkan kerajaan Selangor kerana syarikat konsesi itu tidak memenuhi tiga syarat utama.
Antaranya ialah ketelusan dalam kadar pengembalian terhadap
syarikat konsesi termasuk kadar tol yang akan dikenakan, bagi
menghalang keuntungan melampau dan menyusahkan pengguna.
Di samping itu, syarat agar setiap perjanjian konsesi
diumumkan kepada umum, bukan hanya kepada Menteri Besar dan Penasihat
Undang-undang Negeri seperti diinginkan pihak KIDEX sebelum ini.
Walaubagaimanapun, pihak syarikat pemaju tidak memenuhi
tuntutan kerajaan negeri setelah diberi tempoh lanjutan lebih empat
bulan.
“Jika Pusat ada perjanjian mereka, kerajaan Selangor juga berhak mengenakan syarat demi menjaga kepentingan rakyat.
Tambahnya, kerajaan Pusat seolah-olah tidak gembira apabila mahu mendapatkan nasihat Ketua Peguam Negara dengan keputusan Kerajaan Selangor yang ingin menegakkan ketelusan dalam pentadbiran.
“Menteri ada hak nak dapatkan nasihat Pejabat Ketua Peguam Negara.
“Namun, dia juga mesti jawab kenapa Pusat bersungguh sangat menghalang kerajaan negeri menegakkan ketelusan dalam urusan KIDEX?
“Sepatutnya menteri kena halakan tenaganya bersungguh-sungguh dalam urusan keuntungan, perjanjian konsesi, serta kadar tol lebuhraya-lebuhraya yang mahu dibina dan umumkan kepada awam, berbanding hanya mencari jalan berhubung pembatalan (KIDEX) oleh Kerajaan Negeri,” sindir Rajiv. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan