*AYAH saya bernasib baik. Dia sepatutnya antara orang terawal dihukum penjara kerana merotan betis dan punggung saya. Sebenarnya rotan sepanjang setengah depa itu menjadi peraturan dan hukum-hakam dalam rumah.

Kalau saya membaca muqaddam tersilap dengung, kena rotan, zappp! Balik rumah – selepas melastik burung – melebihi waktu maghrib, rotan lagi. Jika liat bangun subuh atau malas buat kerja sekolah, zappp lagi.

Sekiranya cikgu merotan saya sebab buat bising dalam darjah, jangan mengadu pada ayah. Kalau mengadu, ayah tidak menyebelahi anaknya, sebaliknya dia akan menambah satu lagi rotan di punggung saya.

Kalau ketika itu merotan anak menjadi satu kesalahan jenayah, pasti ayah saya dan beribu-ribu lagi ibu bapa di seluruh negara akan dipenjarakan. Mungkin penjara kita dipenuhi banduan rotan.

*LEBIH setengah abad lalu merotan adalah perkara biasa, bukan sahaja di kampung saya malah di seluruh negara. Setiap rumah ada rotan, setiap bilik darjah ada rotan, dan di bilik guru besar rotannya lebih besar dan lebih panjang.

Rumah tok ketua ada rotan, rumah tok siak ada rotan. Hatta tok mudim yang kerjanya hanya menggunakan pisau pun ada rotan. Guru dan ustaz yang mengajar anak-anak mengaji al-Quran awal-awal sudah diberi kebenaran merotan.

Pada hari pertama menyerahkan anak kepada cikgu sekolah atau guru mengaji, ibu bapa berkata: “Saya serahkan anak saya pada cikgu, ustaz. Kalau dia degil cikgu rotanlah mana yang patut, asal jangan sampai patah riuk...”

Hari ini rotan lebih banyak digantung sebagai penghias tiang. Guru, guru besar, hatta pengetua tidak lagi merotan murid kecuali untuk kes-kes tertentu.

Dan sehari dua ini menteri kata merotan anak boleh menjadi kesalahan jenayah. Maka hebohlah ‘satu Malaya’.

*KESIAN saya pada Datuk Seri Rohani Abdul Karim. Belum apa-apa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu sudah dihentam berbagai-bagai pihak. Semuanya gara-gara kenyataan beliau bahawa merotan anak bakal menjadi satu kesalahan jenayah di negara ini.

Cadangan tersebut akan dilaksanakan jika rang undang-undang baharu menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat selewat-lewatnya Julai depan, diluluskan.

Maka riuh-rendahlah seluruh negara. Ada yang kata cadangan menteri itu tidak sesuai di tempat kita. Ada yang menempelak, kita jangan terikut-ikut negara luar yang terlalu liberal. Ada yang kata undang-undang itu tidak menepati hukum Islam, sebab Islam menggalakkan orang merotan anak.

Tetapi ada pula bijak pandai agama kata, Islam tidak menuntut ibu bapa merotan anak. Semua orang berhujah berkobar-kobar, padahal undang-undang belum pun ke parlimen. Dulu, kini dan selamanya, rotan memang pencetus semangat.

*ROTAN atau tidak? Kalau tanya saya, boleh rotan asal jangan sampai cedera teruk. Ayah dan cikgu saya dulu-dulu selalu merotan punggung, betis, tapak tangan saya. Tetapi tidak pernah cedera. Kalau tidak dirotan, saya mungkin jadi cempiang @ penyangak.

Kalau merotan hingga lebam dan patah-riuk, rujuk sahaja pada undang-undang sedia ada. Peruntukan sedia ada telah pun menjadikan perbuatan merotan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal atau mental sebagai suatu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum dengan penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Pendek kata tidak perlu buat atau pinda undang-undang baharu. Kuatkuasakan sahaja undang-undang yang ada sekarang. Masalah kita selama ini ialah kita suka sangat buat undang-undang, tetapi tidak dikuatkuasakan.

*AKHIR kalam, saya bersama seluruh rakyat Malaysia bersimpati dan berkongsi kesedihan di atas tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines MH370 yang telah diisytiharkan kemalangan. Seperti yang diumumkan kerajaan kesemua 239 penumpang dan anak kapal pesawat tersebut dianggap telah terkorban.

Tentu sekali setelah menunggu dalam debar dan penuh tanda tanya selama kira-kira setahun, ini adalah pengumuman paling menyedihkan bagi keluarga terdekat, sanak-saudara dan sahabat handai mereka yang terkorban. Semoga yang ditinggalkan akan meneruskan hidup penuh kesabaran. Seluruh rakyat berdukacita atas nahas ini.