HALAMAN SANTAI

Sabtu, 21 Februari 2015

PAS retak menanti belah

 
Wala’ (ketaatan) sebahagian ahli Pas juga telah beralih kepada pakatan bukan lagi terhadap parti Islam.


pas_protest_300


KUALA LUMPUR: PAS pada alaf 21 mengalami pergolakan dalaman yang dahsyat sehingga melemahkan jemaah dan menukarkan arah tuju perjuangan parti yang bertunjangkan Islam dan kepimpinan ulama.

Idea membawa masuk golongan profesional yakni bukan ulama jelas mengubah landskap parti apabila ia dikatakan mewujudkan golongan yang berkiblatkan sekular dan liberal.

Lantaran itu ia kini berdepan krisis perpecahan dalaman yang makin kronik apabila Dewan Ulama parti mengakui wujud usaha mensabotaj, menyingkir dan mempertikaikan kepemimpinan ulama yang selama ini menjadi teras kekuatan parti tersebut.

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali mengakui, jika serangan ke atas Majlis Syura Ulama dan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang digerakkan ahli parti sendiri tidak dihentikan dengan segera, PAS bakal menghadapi kehancuran.

“Akhir-akhir ini kepemimpinan ulama yang menjadi teras kekuatan PAS dan telah dilembagakan dalam perlembagaan PAS cuba disabotaj, dirungkai serta dipertikai,” katanya.

Menurutnya, Wala’ (ketaatan) sebahagian ahli Pas juga telah beralih kepada pakatan bukan lagi terhadap parti Islam.

“Sedangkan ketaatan itu adalah wajib kepada ketua dalam konteks Islam selagi tidak bercanggah de­ngan syarak. Dalam hal ini kepada Presiden PAS (tetapi) dalam konteks PAS, wala’ itu telah cuba dilanggar serta diingkari oleh segelintir pe­mimpin dan juga ahli.

“Ahli PAS pascareformasi 1998 mempunyai pelbagai pemikiran atau kecen­derungan yang membawa kepada perpecahan dan serangan ke atas Majlis Syura Ulama serta Presiden jika tidak dibendung segera bakal membawa kehancuran kepada Pas,” katanya, lapor Utusan Malaysia.

Semalam Abdul Hadi, berkata, tindakan sebahagian ahli Pas mengkhianati jemaah atau berkhidmat kepada pihak lain ha­nya merugikan parti.

Menerusi rakaman video yang dimuat naik ke laman Facebook­nya, Presiden PAS itu antara lain menegaskan bahawa wala’ kepada perjuangan Islam dan jemaah seharusnya tidak berbelah-bahagi serta tidak boleh sama sekali memesongkan ahli daripada me­lakukan kerja jemaah.

Pergeseran antara kumpulan ulama dengan pemimpin yang pro-Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan perkara baharu tetapi sejak beberapa bulan lalu masalah tersebut semakin kritikal sehingga dipercayai berlaku kekecohan dalam mesy­uarat Jawatankuasa PAS Pusat baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mohd. Khairuddin berkata, sebahagian ahli PAS kini bukan sahaja terpikat dengan acuan kapitalis tetapi pemikiran liberal dan sekular juga sudah mula meresap masuk secara perlahan-lahan atas alasan mahukan keterbukaan.

“Strategi kemenangan gerakan Islam mula ditinjau dari sudut pandang Barat dan pemikiran sekular. Keimanan tidak lagi menjadi teras kepada pembentukan strategi,” katanya.

Tiada ulasan: