HALAMAN SANTAI

Khamis, 19 Februari 2015

'Saya hanya bentang fakta kes'


Muhammad Shafee Abdullah
 
 
KELANA JAYA – [DIKEMASKINI] Peguam kanan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang juga ketua pendakwa raya bagi kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak melanggar mana-mana etika guaman apabila memberikan kenyataan terbuka kepada media dan orang ramai selepas kes itu selesai.

Menurutnya, beliau hanya membentangkan dan menerangkan fakta kes tersebut kepada orang ramai.

“Malah saya pula kini sedang lakukan tugas yang sepatutnya dilakukan Majlis Peguam, iaitu mempertahankan badan kehakiman negara, sesuatu yang mereka gagal lakukan.

“Mereka kritik dan mempersendakan pula badan kehakiman. Saya rasa Majlis Peguam yang patut didakwa (kerana melanggar etika guaman),” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau ditemui selepas program Dialog Bersama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah anjuran Akademi Kepimpinan Kapten Hussein di sini, malam kelmarin. Dialog itu turut dihadiri Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Beberapa pihak sebelum ini mengkritik Muhammad Shafee selepas beliau memberikan temu ramah di media dan penerangan awam mengenai kes Anwar.

Beliau juga didakwa melanggar Akta Profesion Undang-Undang 1976 apabila dikatakan mencari publisiti bagi kemenangannya dalam kes itu.

“Mana ada publisiti? Isu publisiti hanya timbul jika saya membuat kenyataan memuji, maknanya mengiya-iyakan sangat (kemenangan dalam kes itu) tetapi bila masa saya buat begitu?

“Saya hanya menyampaikan fakta kes. Malah saya berikan banyak penghormatan kepada pendakwa raya sebelum ini yang melakukan kerja dengan sangat baik, kalau tidak kami tidak mampu (menang),” katanya.

Sebelum itu, Muhammad Shafee dalam program dialog itu berkata, beliau bersetuju untuk menyertai sesi penerangan awam mengenai kes Anwar kerana terlalu banyak kenyataan mengelirukan dikeluarkan serta fakta kes diputar belit beberapa pihak.

Katanya, orang ramai akan faham hanya satu kesimpulan boleh dibuat dalam kes Anwar jika mereka melihat kepada fakta kes tersebut.

“Tetapi mereka tidak mahu buat begitu. Jadi kita ada orang daripada Majlis Peguam dan beberapa anggota pembangkang yang buat kenyataan sangat mengelirukan. Kami (pendakwa raya) tidak boleh cakap apa-apa selama (enam) tahun (kes berjalan) kerana ia subjudis.

“Kini apabila kes sudah selesai, mereka kata kami tidak patut cakap apa-apa sebab Anwar sudah pun masuk penjara. Tapi inilah masanya untuk kami jelaskan maklumat tidak tepat yang berterusan dikatakan mengenai kes ini,” katanya.

Dalam sesi dialog itu, Muhammad Shafee menjawab hampir 20 soalan secara terus daripada hadirin sepanjang hampir dua jam termasuk pelbagai soalan panas seperti mengapa pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan tidak dipenjarakan kerana turut terlibat dalam perbuatan liwat dan mengapa Anwar tidak didakwa kerana berterusan menghina mahkamah sepanjang kes beliau.

Muhammad Shafee turut menyelar pihak yang sering mengaitkannya dengan Umno, termasuk dilabel sebagai peguam Umno. Katanya, beliau antara peguam bertanggungjawab dalam kes yang menyebabkan Umno diisytiharkan sebagai tidak sah pada 1988.

“Jadi macam mana orang boleh tanya sama ada saya peguam Umno? Tetapi disebabkan saya ada wakili Umno dalam beberapa kes petisyen pilihan raya, saya tidak boleh sewenangnya wakili parti pembangkang pula kerana ada konflik kepentingan, undang-undang tidak benarkan saya buat begitu," jelasnya.

Tiada ulasan: