HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Mac 2015

Kerajaan Negeri cadang ambil alih pengurusan perkhidmatan feri Pulau Pinang

Penang_KomtarFerry

 Roketkini.com


GEORGE TOWN: Berikutan cadangan kenaikan tambang feri yang akhirnya akan memberi dampak buruk dan menjejaskan golongan kurang berkemampuan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini bercadang untuk mengambil alih pengurusan perkhidmatan pengangkutan air itu daripada Penang Port Sdn Bhd (PPSB).

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, pengambilalihan itu perlu dilakukan untuk mengembalikan mutu perkhidmatan yang baik tanpa kerugian besar dan tanpa menaikkan tambang feri.

“Kerajaan Negeri boleh mengusahakan perkhidmatan feri sebagai entiti baru dan kami yakin berkemampuan menguruskan perkhidmatan feri dengan baik tanpa kerugian besar serta tanpa menaikkan tambangnya.

“Adalah menjadi hasrat Kerajaan Negeri untuk memastikan ikon pelancongan negeri ini yang telah beroperasi sejak 1894 terus bertahan dan beroperasi sebagai simbol ‘Pulau Mutiara’,” katanya seperti terkandung dalam surat kepada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Namun tegas Guan Eng, pengambilalihan pengurusan tersebut haruslah dibuat secara bersih sebagai entiti baru yang tidak terikat dengan sebarang kontrak atau perjanjian lama.

“Pengambilalihan pengurusan perkhidmatan feri ini perlu dibuat secara bersih tanpa dibebankan oleh sebarang tanggungan liabiliti perkhidmatan feri oleh pengurusan lama serta diberikan lesen untuk membeli dan mengusahakan 30 buah lagi feri atau kenderaan air.

“Kami bersedia untuk menanggung sebarang kerugian pengurusan selepas ini,” ujarnya.

Liow sebelum ini telah memaklumkan hasrat Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) untuk menaikkan tambang feri berikutan kerugian besar dalam mengendalikan perkhidmatan feri sebanyak RM23 juta dalam tahun 2013.

Pengerusi PPSB Datuk Mohd Sidik Shaik Osman juga turut mengakui bahawa perkhidmatan feri telah mengalami kerugian secara purata setiap tahun sebanyak RM20 juta untuk beberapa tahun ini.

Mengulas lanjut, Guan Eng menegaskan, pihaknya membantah keras cadangan kenaikkan tambang itu yang dilakukan bagi menampung kerugian PPSB.

Jelasnya, punca utama kerugian berlaku adalah disebabkan pengurusan lemah PPSB, ditambah mutu perkhidmatan yang kurang memuaskan, walhal feri merupakan pengangkutan penting antara Pulau dan Seberang Perai.

Mengikut cadangan tambang baru, pemilik kereta akan dikenakan tambang RM9 daripada RM7.70 sekarang ini manakala tambang motorsikal pula akan dinaikkan sebanyak RM1.50 daripada RM2.00 kepada RM3.50. -Roketkini.com


Tiada ulasan: