Polis akan menyiasat Jamal kerana merusuh mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan
PETALING JAYA : Polis akan bertindak terhadap Datuk Jamal Md Yunos berhubung kenyataannya untuk mengadakan satu lagi tunjuk perasaan di Petaling Street Sabtu ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu akan dipanggil dalam tempoh masa terdekat.
Jelasnya, polis akan menyiasat Jamal kerana merusuh mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan.
Beliau menjelaskan bahawa pihak polis mempunyai kuasa untuk menahan sesiapa di bawah Seksyen 105 Kanun Acara Jenayah sebagai langkah pencegahan.
“Kami mempunyai kuasa untuk menjalankan tangkapan untuk mengelakkan apa-apa jenayah, termasuk merusuh,” katanya yang dipetik daripada Mstar Online.
Menurut Noor Rashid, polis akan menempatkan anggotanya di Petaling Street pada ini Sabtu ini sebagai langkah berjaga-jaga.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan pihak tertentu untuk mengadakan perhimpunan di kawasan berkenaan pada hujung minggu ini.
Ia diadakan atas alasan bagi membantah kehadiran warga asing yang menjalankan perniagaan termasuk menjual barangan terlarang dan tiruan di lokasi itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan