shahbudindotcom
Ramai
yang menyangka setelah terlepas daripada pemecatan pada mesyuarat MT 9
September lalu, Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin akan terus
berdiam diri atau setidak-tidaknya bertukar menjadi lebih berhati-hati
dalam memberikan pandangannya terhadap sesuatu isu.
Ini
kerana sebarang komen yang keras, berbeza atau tidak senada dengan
pucuk pimpinan parti pasti mudah saja diangkat oleh golongan pembodek
dan pengampu Najib Razak sebagai sesuatu yang bertujuan
memburuk-burukkan parti.
Ada
juga mengatakan Najib sebenarnya hanya menunggu silap sedikit saja
daripada Muhyiddin sebagai alasan untuk menyingkirkannya daripada UMNO.
Dalam
masa yang sama, jika Najib berhasrat mengenepikan Muhyiddin, tidak kira
sama ada memecat atau menggantung keahliannya, ia juga dikatakan pasti
mendapat sokongan penuh daripada Ahmad Zahid Hamidi yang ketika ini
hanya menjadi Timbalan Perdana Menteri, tetapi belum bertaraf pemimpin
nombor dua dalam UMNO.
Namun
ternyata kini Muhyiddin tetap sama. Sebagaimana beliau berani bersuara
dan berkata benar sehingga jawatannya dalam kerajaan terpelanting
sebelum ini, setelah tiada jawatan dan sedang diperhatikan salah serta
silapnya, ketakutan untuk menyatakan kebenaran nyata tidak berubah.
Selain
bersuara tidak setuju mengenai himpunan baju merah sebelum ini,
Muhyiddin juga terus bercakap mengenai 1MDB dan wang derma yang diterima
oleh Perdana Menteri.
Kebimbangan
Muhyiddin mengenai isu perkauman dalam himpunan baju merah turut
mendapat reaksi positif daripada Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin
yang bersetuju agar sebarang provokasi mengenainya hendaklah dihentikan
dan tidak seharusnya dibiarkan.
Dalam satu majlis di Pagoh semalam, antara lain Muhyiddin berkata:-
- selagi masih bergelar wakil rakyat dan berjawatan dalam parti, beliau akan terus berkata yang benar demi kepentingan rakyat.
-
kena buang sebab berkata benar tidak apa, hidup ini bukan kerana
jawatan saja. Kita harus berani bersuara dalam sistem demokrasi
berparlimen, jangan simpan dalam hati.
- hasil siasatan 1MDB sepatutnya didedahkan untuk mengetahui siapa yang bersalah berhubung skandal kewangan syarikat tersebut.
-
macam 1MDB, SPRM dah siasat, polis dan Bank Negara pun dah siasat,
Peguam Negara sepatutnya dah selesai siasat. Kalau ada yang salah, mesti
beritahu kepada rakyat.
-
jika ada yang salah, mesti ada hukuman atau penjara. Malaysia adalah
negara yang ikut undang-undang. Curi wang kena tangkap, curi ayam pun
kena tangkap. Semua yang buat jahat kena tangkap, tak boleh biar.
Walaupun
tidak menyebut nama sesiapa dalam ucapannya, tetapi sasarannya tidaklah
sukar difahami. Mungkin selepas ini jika masih tidak bergerak apa-apa,
Muhyiddin akan bersuara lagi mengenai 1MDB yang menjadi kebimbangan
ramai itu.
Dan
rakyat harapan rakyat serta ahli UMNO peringkat akar umbi secara
umumnya ialah mahukan beliau terus bersuara demi kepentingan ramai.
Rakyat sebenarnya sudah letih dan muak mendengar suara bodek dan ampu
atas sesuatu perkara yang salahnya amat nyata.
Meskipun
tidak lagi berjawatan dalam kerajaan, suara Muhyiddin sebagai pemimpin
nombor dua dalam UMNO tentunya mampu membuatkan ia lebih didengari
berbanding jika orang biasa saja yang bersuara.
Menjadi
harapan juga agar selepas ini Muhyiddin lebih memanfaatnya masanya yang
banyak terluang untuk turun ke seluruh pelusuk negara mendengar
rintihan dan ketidakpuasan hati rakyat mengenai pelbagai isu yang sedang
berlaku dalam negara.
Mahu
tidak mahu, harus diakui keadaan negara langsung tidak bertambah baik
selepas Muhyiddin dipecat dan digantikan dengan Zahid Hamidi. Bukan saja
sokongan rakyat tidak bertambah kerana masalah sedia ada yang
disebabkan oleh Najib, malah adanya Zahid juga tidak menjadikan
keyakinan kepada Najib dan kerajaan menjadi lebih baik.
Sebagaimana yang disebut dalam tulisan sebelum ini, masalah utama kepada negara dan UMNO ialah Najib dan ia sudah terlalu berat untuk dipulihkan oleh mana-mana juga pemimpin.
Lantaran
itu, sekiranya menjelang PRU 14, keadaan sokongan rakyat tidak juga
bertambah baik dan hari demi hari menjadikan BN lebih mungkin kalah
daripada mencipta kejayaan, tidaklah mustahil akhirnya akan muncul
desakan daripada UMNO sendiri yang mahukan Najib berundur.
UMNO
dan para pemimpinnya hanya mungkin tidak berbuat apa-apa untuk
mengundurkan Najib jika mereka lebih rela karam dan tenggelam bersama
Perdana Menteri yang semakin ketara ditolak oleh rakyat jelata.
Ketika
itu, sebagai Timbalan Presiden UMNO, tentunya di bahu Muhyiddin yang
berani bersuara dan berkata benar inilah disandarkan harapan untuk
membawa kejayaan.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan