Oleh Fiza Abd Halim
KUALA LUMPUR : Tanah warisan Melayu di Kampung Baru bakal lenyap sedikit masa lagi akibat ditelan pembangunan Kerajaan Persekutuan.
Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Dr Idris Ahmad berkata, keghairahan kerajaan untuk menjalankan pembangunan di kawasan majoriti Melayu itu disebabkan ketamakan mereka yang mementingkan keuntungan.
Beliau khuatir penduduk bakal dihimpit kesulitan di masa akan datang ekoran janji palsu kerajaan yang semata-mata mahukan kemajuan di penempatan yang diwarisi mereka turun-temurun itu.
Katanya, pembangunan yang pernah dijanjikan kerajaan sebelum ini banyak terbengkalai terutama di pusat bandar Kuala Lumpur seperti di Taman Datuk Keramat dan beberapa lagi kawasan lain sekitarnya.
“Kita bimbang kerana banyak projek Kerajaan Persekutuan sebelum ini terbengkalai terutama di kawasan bandar. Kalau dimonopoli oleh orang Umno lagi susah. Ini menyebabkan tanah warisan Melayu akan hilang kerana mereka ini hanya pentingkan wang dan keuntungan.
“Sekiranya pihak Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) mahu membangunkan kawasan tersebut, mereka perlu kekalkan tapak warisan Melayu sedia ada.
“Apa yang jelas di sini, mereka mahu jadikan Kampung Baru seperti Singapura. Tanah diambil secara paksa dan pemilik terpaksa berbuat demikian, itu yang penduduk bantah,” kata Idris kepada Keadilan Daily.
Isu pembangunan Kampung Baru mendapat bantahan berterusan penduduk dan terbaru, PKB sedang memperluaskan usaha menjejaki pemilik dan waris tanah menerusi Program Jejak Waris bagi memastikan pembangunan yang dirancang berjalan lancar.
Pengerusinya, Datuk Affendi Zahari dilapor berkata, PKB kini menunggu peruntukan daripada Kerajaan Pusat bagi tujuan tersebut, yang didakwa mampu menyelesaikan isu pemilikan tanah.
Idris yang juga Adun Ijok berkata, sekiranya penduduk tidak bersetuju untuk menyerahkan geran milik kepada pihak PKB melaksanakan projek pembangunan, maka mereka tidak boleh berbuat apa-apa.
“Mengikut enakmen tanah yang baru, jika mahu menjalankan pembangunan, pemilik atau waris perlu menyatakan persetujuan terlebih dahulu. Di Kampung Baru, dalam satu lot tanah terdapat enam nama, sekiranya empat sahaja yang bersetuju manakala dua nama lagi membantah, maka tanah itu tidak boleh dijual,” jelas Idris lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan