HALAMAN SANTAI

Ahad, 6 Disember 2015

Hospital harap isu jururawat tak jadi perkauman

MALAYSIAKINI


 


Hospital Damai, yang terpalit kontroversi berkaitan isu aurat jururawatnya, merayu supaya perkara itu tidak dijadikan isu perkauman.

Kenyataan bersama lima penyelia jururawatnya menegaskan bahawa pemecatan jururawat Naziah Sauni Samat dibuat atas masalah disiplin.

Mereka juga menjelaskan larangan pemakaian seragam lengan panjang “bukan kerana menentang pengamalan agama seseorang, tetapi demi keselamatan dan aspek-aspek lain”.

“Amat perit setelah isu ini diviralkan orang ramai mula menelefon atau datang ke hospital dan bertanya, 'saya nak pilih nurse yang berseragam penuh sahaja untuk merawat saya, you adakah nurse seragam penuh'.

“Kini hospital dijangka seperti pusat hiburan boleh pilih nurse mana yang mereka suka baru boleh memulakan rawatan. Amat sedih sekali,” kata mereka.

Lima penyelia jururawat itu ialah Sugenthei Raman, Norzilawati Sarip, Katina Ibrahim,Uma Devi Subramaniam dan Vijitra Sahadevan.

Mereka juga berkata sentiasa berkhidmat untuk menyelamatkan nyawa semua rakyat Malaysia tidak kira agama.

Naziah juga diminta mengajukan isu itu kepada Jabatan Buruh jika berasa dianiaya.

Kata mereka membawa isu itu kepada orang awam hanya menghuruharakan keadaan dan menyebabkan pertikaman lidah tanpa mengetahui penjelasan kedua-dua belah pihak.

Naziah kelmarin tampil mendakwa dibuang kerja hanya kerana cuba menutup aurat semasa bekerja,
dalam sidang media bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Wanita 24 tahun itu mendakwa beliau tidak dibenarkan memakai pakaian seragam berlengan panjang ketika menjalankan tugas.


Tiada ulasan: