HALAMAN SANTAI

Jumaat, 25 Disember 2015

Kerajaan diminta tangguh pelaksanaan LPPSA

 
Tiada jaminan dalam Akta LPPSA kadar faedah pinjaman perumahan akan kekal empat peratus


Salkuhairi-Abd-Sukor


PETALING JAYA: Kerajaan diminta agar menangguhkan dahulu pelaksanaan Akta Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) yang hendak dilaksanakan pada 1 Januari 2016.

Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam), Salkuhairi Abd Sukor berkata, langkah itu perlu bagi mengelakkan kebimbangan berterusan kakitangan awam kerana akta tersebut memberi kuasa sepenuhnya berhubung urusan berkaitan pentadbiran, pengurusan dan pemberian pembiayaan perumahan penjawat awam.

Beliau berkata, beberapa peruntukan di dalam akta itu dilihat memberi kuasa yang luas kepada Menteri Kewangan dan pengurusan LPPSA sendiri untuk melakukan segala perkara yang perlu atau sesuai bagi tujuan pelaksanaan fungsinya di bawah akta tersebut.

“Dengan kuasa-kuasa yang sebegitu luas, ia dibimbangi boleh disalahgunakan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu dan secara tidak langsung boleh memberi kesan dan menjejaskan kepentingan dan hak kakitangan awam yang membuat pinjaman.

“Lebih-lebih lagi, tidak dinyatakan di dalam akta tersebut yang pembiayaan perumahan di bawah LPPSA ini akan mengekalkan semua terma-terma dan syarat-syarat pembiayaan perumahan di bawah BPP sebelum ini. Semuanya adalah atas budi bicara LPPSA sepenuhnya dan tertakluk kepada kelulusan Menteri Kewangan.

“Ertinya, tiada jaminan di bawah Akta tersebut bahawa terma-terma dan syarat-syarat kelulusan pembiayaan seperti jumlah kelayakan pembiayaan, kadar faedah empat peratus, syarat-syarat kelulusan, tempoh pembiayaan, dokumentasi pembiayaan dan lain-lain lagi terma-terma dan syarat-syarat pembiayaan perumahan di bawah BPP sebelum ini secara Automatiknya dikekalkan. Ianya tertakluk sepenuhnya atas budibicara LPPSA dan tertakluk kepada kelulusan Menteri,” katanya menerusi kenyataan kepada FMT.

Salkuhairi berkata demikian, mengulas kenyataan Setiausaha Bahagian Pinjaman Perumahan Perbendaharaan, Norsimah Ab Wahab baru-baru ini apabila menyatakan kadar faedah pinjaman perumahan kakitangan awam masih sama biarpun LPPSA mengambil alih pinjaman perumahan kakitangan awam daripada Bahagian Pinjaman Perumahan, Perbendaharaan Malaysia (BPP).

Sehubungan itu, Salkuhairi yang juga seorang peguam hartanah mendesak agar pelaksanaan akta itu ditangguh dan pengambil alihan pinjaman kakitangan awam oleh LPPS sehingga satu kajian mendalam dilakukan.

“Kakitangan awam, para peguam hartanah, pihak insurans/takaful dan lain-lain pihak yang berkepentingan di dalam urusan berkaitan pinjaman kakitangan awam hendaklah dirujuk terlebih dahulu sebelum ia dialksanakan oleh kerajaan.

“Ini untuk mempastikan bahawa pelaksanaannya kelak tidak akan memberi kesan kepada pihak-pihak yang berkenaan dan sekaligus dapat melindungi hak dan kepentingan awam itu sendiri,” tegasnya.

Tiada ulasan: