Hubungan dan rantaian yang rapat antara peniaga dan pembekal mampu menjamin kelangsungan peniaga Melayu di Mara Digital
Oleh Zaini Hardy
Langkah kerajaan mewujudkan sebuah pusat perniagaan untuk orang Melayu iaitu Mara Digital ditengah-tengah ibu negara harus dipuji.
Niat mahu memperkasakan golongan Melayu supaya mendapat tempat dalam dunia perniagaan setanding kaum Cina yang dilihat menguasai ekonomi di negara ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan mempunyai inisiatif untuk mempastikan bangsa Melayu tidak ketinggalan dalam arena berkenaan.
Malah, apa yang dilakukan oleh kerajaan itu secara tidak langsung mampu membela nasib orang Melayu daripada tercicir dengan bangsa-bangsa lain menerusi bidang yang semamangnya menjamin peluang kekayaan.
Apa pun, jangan dilupakan sesuatu yang paling penting adalah pemantauan berterusan di setiap sudut agar matlamat dan objektif membangunkan Mara Digital itu mencapai sasarannya.
Di sini, penulis ingin mengulas sedikit berkenaan penubuhan Mara Digital yang menjadi kebanggaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Berdasarkan sebuah artikel yang disiarkan di portal ini hari ini dengan tajuk `Mara Digital:Peniaga Melayu harus rebut rantaian bekalan’, penulis berpendapat, istilah `rantaian’ merupakan perkara asas yang sangat penting untuk dipraktikkan oleh peniaga-peniaga Melayu di situ.
Mereka perlu menguatkan rantaian perniagaan mereka sendiri tanpa perlu bergantung kepada orang lain kerana langkah itu boleh mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa oleh pihak yang mahu mengambil kesempatan atas angin.
Perkara penting yang perlu difahami bagi orang yang berniaga adalah, mereka perlu menguatkan rantaian sama ada dengan pembekal mahupun rakan niaga yang lain.
Ini kerana, dua pihak itu adalah pihak yang saling berkait rapat dan diperlukan setiap masa.
Jika peniaga mahu menjual barang, sudah tentu ada pembekal yang akan membekalkan barang yang hendak dijual.
Sebagai contoh, pernah penulis berurusan dengan peniaga di sebuah kedai telefon bimbit di sebuah Plaza di Seri Kembangan yang cukup terkenal dengan aktiviti menjual alat-alat gajet sama seperti Plaza Low Yat.
Ketika diminta barang yang hendak dibeli, penjual itu mengatakan kepada penulis bahawa barang yang dimahukan itu telah kehabisan stok namun, akan berusaha mendapatkannya.
Selepas meninggalkan penulis dengan janjinya yang hanya memerlukan masa selama 10 minit, penjual itu kemudiannya datang semula sambil ditangannya ada memegang gajet yang dimahukan.
Harga yang ditawarkan kepada penulis juga sama seperti harga yang ditanya sejak awal-awal penulis berurusan dengannya.
Apa yang dialami oleh penulis itu jelas menunjukkan bahawa adanya rantaian yang baik antara peniaga di situ dan boleh dijadikan contoh kepada para peniaga di bangunan Mara Digital.
Hanya dengan cara itulah, penulis percaya perniagaan orang Melayu di Mara Digital akan menjadi sihat dan matlamat kerajaan membina pusat perniagaan di situ mencapai hasratnya.
Tidak perlu lagi seperti kata orang dulu-dulu, kalau hendak berniaga menggunakan ilmu hitam untuk menundukkan pesaingnya atau mahu melariskan perniagaan.
Perkara-perkara seperti itu tidak wajar dibawa lagi di zaman ini kerana kepintaran mengurus adalah aspek paling penting dalam dunia perniagaan moden hari ini.
Apa pun dalam hal ini, peranan kerajaan masih lagi diperlukan terutama dalam membela nasib peniaga Melayu di situ agar tidak samar dalam mengejar cita-cita mereka.
Agensi kerajaan seperti pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) harap dapat membantu dalam hal ini.
(*) Zaini Hardy ialah penulis FMT
Tiada ulasan:
Catat Ulasan