shahbudindotcom
Sebagaimana
yang dilaporkan oleh media-media, Perdana Menteri Najib Razak telah
diambil keterangannnya selama dua jam setengah oleh SPRM semalam
berhubung wang RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd yang didakwa
masuk ke akaun peribadinya.
Dalam
pendedahan WSJ sebelum ini, daripada sejumlah kira-kira RM2,600 juta
yang didakwa mengalir masuk ke akaun peribadi Najib, RM42 juta
daripadanya ialah daripada SRC International yang ketika itu merupakan
anak syarikat 1MDB tetapi kini telah dipindahkan di bawah Kementerian
Kewangan.
Hasil
siasatan mengenai kedudukan sebenar wang daripada SRC International itu
amat dinanti-nantikan oleh semua orang memandangkan sejumlah besar
daripada keseluruhan RM2,600 juta itu yang dikatakan diterima daripada
Timur Tengah sudah pun ditakrifkan oleh SPRM sebagai derma dan "halal"
dari segi undang-undang.
Hanya isu berkaitan RM42 juta ini saja lagi yang tersangkut dan menyebabkan Najib terus dalam siasatan SPRM.
Apakah RM42 juta ini akan dikategorikan sebagai derma juga akhirnya atau ia akan berpanjangan hingga ke mahkamah?
Mungkinkah pula wang itu akan dianggap sebagai sumbangan sosial korporat oleh SRC International?
Tetapi, bolehkah sumbangan dimasukkan ke dalam akaun peribadi seseorang?
Dalam
hal ini, tidak dinafikan SPRM sedang berhadapan tugas berat dalam
tugasnya, apatah lagi beberapa tangkapan turut sudah dibuat sebelum ini
berkaitan perkara itu.
Jika
kita masih ingat, antara yang pernah ditahan reman oleh SPRM dalam
siasatannya ialah Dr Shamsul Anwar Sulaiman, CEO Ihsan Perdana, sebuah
syarikat yang bertanggungjawab terhadap khidmat sosial 1MDB serta
seorang despatch.
Selain
itu, satu kertas pertuduhan yang masih diperdebatkan kesahihannya
berkaitan pendakwaan perkara yang sama juga turut didedahkan oleh
Sarawak Report selepas berlakunya penyingkiran Gani Patail sebagai
Peguam Negara.
Namun
selepas pertukaran Peguam Negara dan beberapa rombakan yang dilakukan
kerajaan, semunya bagaikan terhenti begitu saja, termasuk pasukan
petugas khas yang ditubuhkan sebelum ini turut tidak kedengaran lagi
khabar beritanya.
Baru-baru
ini, SPRM mendedahkan bahawa mereka juga sudah menemui dan mengambil
keterangan bekas Pengarah SRC International, Suboh Mohd Yasin serta Jho
Low di luar negara.
Dengan
semua perkembangan ini, rakyat hakikatnya tidak sabar lagi menanti
hasil siasatan SPRM tentang perkara ini serta justifikasi mengenainya.
Tidak
dinafikan, di sebalik kenyataan SPRM bahawa keterangan daripada Najib
sudah diambil selama dua jam setengah, masih kedengaran mereka yang
pesimis dan ragu-ragu lagi.
Bagaimanapun,
sesuatu yang harus disedari ialah inilah pertama kami seorang Perdana
Menteri negara kita disiasat dan diambil keterangannya oleh sebuah
agensi penguatkuasaan berkaitan pertuduhan mengenai dirinya sendiri.
Selain
SPRM yang menjalankan siasatan dan mengambil keterangan, peranan Peguam
Negara yang menentukan pendakwaan turut menjadi sorotan ramai.
Jika
didakwa, ia tentunya merupakan sejarah baru bagi negara kita. Kiranya
tiada apa-apa yang berlaku pula, ia turut merupakan sejarah baru kerana
sekurang-kurangnya seorang Perdana Menteri ada failnya sendiri di SPRM.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan