HALAMAN SANTAI

Ahad, 6 Disember 2015

Pakatan Harapan hadapi masalah defisit kepercayaan?

Oleh Abdul Rahman Malik

 
Post Pic

 

[ULASAN] Masalah defisit kepercayaan di kalangan anggota Pakatan Harapan kini semakin menyerlah. Mutakhir ini setiap anggotanya terpaksa menangani banyak isu halatuju dan doktrin perjuangan masing-masing.

Keadaan ini secara langsung menjejaskan wibawa kumulatif Pakatan ini untuk menokok masalah isu kepercayaan yang kini dihadapi saingan mereka – Barisan Nasional.  

DAP misalnya, kelihatan tidak mengendahkan apa orang lain kata bersabit soal mengembang dan memberdayakan isu kelestarian alam sekitar dalam mengejar pembangunan.

Kegopohan dan kedegilannya dalam soal mengutamakan pembangunan tanpa mengambil kira mudaratnya ke atas alam sekitar amat memeranjatkan. Atas nama hak kebebasan bersuara DAP nampaknya tidak menghiraukan pandangan pihak lain.

DAP menggunakan hak bersuara dan kebebasan mentadbir negeri Pulau Pinang secara mutlak tanpa mahu mengambil kira pandangan rakyat termasuk menghormati pendirian rakan politiknya, PKR.

Kes lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR mengambil sikap berkecuali dalam usul Umno-BN supaya pada masa hadapan semua projek penambakan laut diluluskan setelah dibuka kepada perdebatan umum, amat menjengkelkan DAP.

Malah Setiausaha DAP, Lim Guan Eng, tidak pernah lelah membidas dan menuduh kelima-lima ADUN berkenaan kini sudah “bersama Umno” dan mahu rakan politiknya mengambil tindakan sekeras-kerasnya ke atas mereka.

DAP menganggap tindakan yang diketuai Ketua Whip PKR, Ong Chin Wen itu sebagai mengkhianati rukun setiakawan di antara dua parti. DAP mahu apa yang diputuskannya mesti dipatuhi oleh semua ADUN – dari DAP dan PKR.

Ini berselisih dengan pandangan PKR yang berpegang pada kaedah dalam soal memelihara alam sekitar, sikap lebih toleran dan terbuka mesti ditunjukkan pada rakyat dan wakil rakyat diizinkan untuk “mengundi mengikut gerak hati mereka”.

Bagaimanapun DAP tidak langsung mengiktiraf hak demokrasi rakyat dan wakil rakyat menyuarakan pandangan berbeza dengannya. Malah tergamak mengisytiharkan “sudah hilang kepercayaan” pada lima ADUN PKR itu.

Dalam menghadapi kedegilan dan sikap hati kering DAP, PKR nampaknya cuba berlembut sehingga memberi gambaran bahawa itu isu kecil yang tidak perlu dilayan.

Sikap ini agak menyedihkan kerana seharusnya perjuangan PKR yang mengaku pembela keadilan, wajib mengutamakan kepentingan jangka panjang rakyat dalam isu alam sekitar.

Ke mana perginya ungkapan yang selalu dilaungkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa “anak Cina, anak saya; anak India, anak saya; anak Kadazan, anak saya”, jika kepentingan umum rakyat mahu jaminan penambakan laut tidak merosakkan alam sekitar untuk semua, tidak dianggap penting.

PKR mesti tegas. Barulah ia boleh terus melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin pemikiran Pakatan Harapan. Keangkuhan, kedegilan dan sikap “aristokratik” DAP mesti ditangani dengan meyakinkan.

Bayangkan jika Pakatan Harapan berjaya menggantikan Umno-BN. Semua kerabat – PKR dan Amanah – mesti akur dan patuh pada keputusan DAP! Jika sikap ini tidak dilentur sekarang, tentu rakyat khuatir ke arah Malaysia hendak dibawa.

PKR harus berani. Jika sekarang ia membiarkan dirinya “dibuli” oleh DAP, bagaimana ia mahu memperjuangkan hak rakyat jika ditakdirkan Pakatan Harapan memerintah kerana masih “malu alah” pada DAP?

Jika PKR tiada keberanian bersuara sekarang, lebih baik tinggalkan DAP dengan “kesombongannya” dan membuktikan bahawa ia tidak mahu menjadi Pak Turut.

Ini bacul namanya. Jika dibiar berterusan tidak mungkin PKR boleh menjadi tempat rakyat menyandarkan harapan bahawa hidup mereka akan lebih aman dan makmur dari sekarang!

Kerabat Pakatan ini, Parti Amanah Negara (Amanah) yang cuba menyuntik harapan baru untuk rakyat memperbaiki mutu kehidupan mereka juga kelihatan tidak bersungguh menangani cabaran “ego” DAP ini.

Malah, parti serpihan PAS itu terlalu asyik berpolitik dan sentiasa memendam kesumat terhadap PAS. 
Obsesi mereka kini ialah memburukkan PAS dengan dakwaan itu diresapi pemikiran ekstremisme ISIS!

Amanah cuba memalitkan PAS dengan tuduhan pencetus huru-hara dan kegiatan keganasan di negara ini. Walaupun tidak berani menyebut nama PAS secara terbuka,  Amanah membuka pekungnya di bangunan parlimen, minggu lalu.

Ahli  Parlimennya, Datuk Dr Mujahid Yusof dan Raja Kamarul Bahrin, merakamkan kekecewaan mereka terhadap pasukan Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta majlis-majlis agama Islam negeri-negeri.

Mereka memberitahu sidang akhbar bahawa banyak laporan polis telah dibuat bagi menyokong dakwaan itu tetapi nampaknya belum siasatan konkrit yang diambil.

Persoalannya, menapa Amanah tidak menekankan komitmennya untuk menjadi rahmatan lil alamin? Memelihara alam sekitar adalah wajib. Kenapa Amanah membisu dalam isu ini?

Di peringkat ini PKR perlu pembelaan daripada Amanah sebagai rakan politiknya. Kenapa Amanah hanya menikus dan tidak turut “tegur DAP?”

Adakah Amanah takut akan terlepas peluang mengisi lebih seribu tempat yang dikosongkan oleh PAS dalam kerajaan tempatan di Pulau Pinang dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung?

Atau, Amanah memang kuat berpegang pada kesumatnya hendak memadamkan cahaya politik PAS yang kini jelas menjadi musuh DAP?

Jika Pakatan Harapan benar-benar mahu menggantikan kerajaan BN hari ini ia perlu memperjelaskan takrif keadilan, ketelusan dan juga kebenaran perjuangan politiknya.

Jika tidak rakyat akan menyimpulkan bahawa segala retoriknya untuk membawa perubahan dalam segenap aspek sosial, ekonomi dan politik rakyat hanyalah retorik untuk menyembunyikan nafsu mereka untuk berkuasa sahaja. 


Tiada ulasan: