shahbudindotcom
Setiausaha
Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor mengesahkan bahawa Tun Mahathir
Mohamad akan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO tahun ini.
Katanya, Tun Mahathir telah memberi jawapan mengenai kehadirannya bersama isteri, Tun Siti Hasmah Mohd Ali.
Apabila
Tun Mahathir memberi jawapan mengesahkan kehadirannya, bermakna bekas
Perdana Menteri itu telah menerima jemputan secara rasmi daripada UMNO.
Jika
beliau tidak menerima jemputan rasmi, tidak mungkin Tun Mahathir dapat
memberi jawapan yang mengesahkan kehadirannya itu. Hanya setelah ada
jemputan, barulah jawapan boleh diberikan sama ada dapat hadir atau
sebaliknya.
Begitulah logiknya.
Sebelum
ini Tun Mahathir mengatakan beliau tetap akan menghadiri Perhimpunan
Agung UMNO tahun ini walaupun kerap dan berterusan mengkritik Perdana
Menteri, Najib Razak.
Sama
ada dijemput atau tidak, kata bekas Perdana Menteri itu, tidak menjadi
hal kepadanya kerana Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi turut
membuat jemputan terbuka kepadanya.
Zahid
Hamidi membuat jemputan terbuka itu sebagai reaksinya kepada kenyataan
Ku Nan yang memberitahu UMNO sedang menimbang sama ada mahu menjemput
atau tidak Tun Mahathir serta membayangkan kemungkinan bekas Perdana
Menteri itu memilih untuk tidak menghadirinya berikutan pendirian
kerasnya terhadap Najib sejak kebelakangan ini.
Bagaimanapun,
isu jemputan kepada Tun Mahathir nampaknya tidak lagi berbangkit
memandangkan UMNO sendiri sudah membuat jemputan rasmi kepada negarawan
itu dan Ku Nan juga mengesahkan sudah mendapat jawapan balas
mengenainya.
Hakikatnya
Tun Mahathir dan UMNO begitu sukar dipisahkan, bukan saja kerana tempoh
berkuasanya yang paling lama, tetapi juga kerana pelbagai sumbangan
serta kejayaan mengkagumkan yang dibawanya kepada negara.
Tetapi
cuba kita lihat isi kandungan surat tunjuk sebab yang ditandatangani
oleh Ku Nan kepada Hamidah Osman yang menyebut mengenai kesalahannya
kerana menganjurkan program Bicara Negarawan bersama Tun Mahathir di
Ipoh pada 16 Mei 2015 lalu.
Atas
kesalahan tersebut, Hamidah yang merupakan bekas Ketua Wanita UMNO
Gopeng dan bekas Exco Kerajaan Negeri Perak, telah pun dipecat
keahliannya pada mesyuarat MT yang diadakan 24 November baru-baru ini.
Secara
jelasnya, Hamidah dipecat ialah kerana menganjurkan program yang
melibatkan Tun Mahathir, tetapi kini UMNO secara rasmi pula menjemput
beliau menghadiri Perhimpunan Agung UMNO.
Jika
ada yang berasa pelik mengapa hanya Hamidah yang dipecat, tetapi tiada
sebarang tindakan kepada Tun Mahathir berkaitan program di Ipoh itu,
yang lebih pelik sebenarnya ialah UMNO sendiri pun masih menjemput bekas
Perdana Menteri itu untuk acara penting parti.
Kalau
UMNO masih menghargai dan terus menjemput beliau, mengapa pula Hamidah
yang menganjurkan program untuk Tun Mahathir boleh dipecat?
Tidakkah
dengan membuat jemputan rasmi kepada Tun Mahathir yang menyebabkan ada
orang pernah dipecat, bermakna ada juga orang lain yang harus dipecat
selepas ini?


Tiada ulasan:
Catat Ulasan