HALAMAN SANTAI

Jumaat, 25 Disember 2015

Pengharaman vape dibuat tanpa kajian menyeluruh - PPIM

 Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyifatkan pengharaman yang dibuat ke atas vape atau rokok elektronik baru-baru ini dilakukan tanpa kajian yang menyeluruh, serta agak 'tergesa-gesa'.
 
Menurut Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan, kajian yang menyeluruh khususnya dari aspek kesihatan adalah amat penting untuk mengelakkan sebarang keputusan yang tidak tepat daripada dilakukan. 
 
"Adakah ia betul-betul perlu diharamkan atau haram bersyarat. Jadi ini faktor yang kita seharusnya cuba perolehi sebelum pengharaman dilaksanakan.
 
"Nampaknya hari ini pengharaman telah dibuat, yang saya rasa, tanpa kajian yang mencukupi.. Paling tidak, kajian dari sudut kesihatan," katanya kepada Antarapos. 
 
Tambah Nadzim, beberapa aspek perlu diberi perhatian antaranya impak yang dihasilkan terhadap penggunaan vape yang mana rata-rata mengakui ia sebagai alternatif terbaik bagi menghentikan dan mengurangkan tabiat merokok.  
 
Justeru bagi mengelakkan penggunaan vape daripada  disalahguna atau diambil kesempatan oleh pihak tertentu, beliau mencadangkan agar satu undang-undang khusus bagi mengawal selia industri vape diwujudkan. 
 
"Ini yang harus kita lihat sebagai satu kaedah untuk membantu orang sakit dan ia dikawal. Contohnya ada undang-undang bagi mengawal penggunaan atau pengeluaran cecair untuk vape," ujarnya.
 
Malah ujar Nadzim, selain dikatakan mampu mengatasi masalah perokok tegar, vape juga mampu 'menjimatkan' perbelanjaan kerajaan yang gigih berkempen untuk mengurangkan tabiat merokok di kalangan rakyat yang sehingga kini dilihat kurang berkesan.      
 
"Kerajaan telah berusaha mengurangkan tabiat merokok dan berbelanja ratusan juta sebelum ini, tapi tak berjaya. Jadi kalau vape ini dapat mengurangkan atau menghentikan tabiat merokok, tak patut ia diharamkan secara tidak ada kajian yang menyuluruh," katanya.  
 
Majlis Fatwa Kebangsaan beberapa hari lalu memutuskan penggunaan vape adalah haram setelah membuat pertimbangan daripada semua sudut termasuk syariah, perubatan dan saintifik serta unsur pembaziran dan budaya tidak sihat.
 
Susulan pengharaman vape oleh Majlis Fatwa Kebangsaan itu, Negeri Sembilan mengambil langkah yang sama untuk mengharamkan penggunaan vape di negeri berkenaan. 
 
Sementara itu Majlis Agama Islam Selangor, Sabah, Sarawak dan Pahang akan bersidang sebelum membuat keputusan mengenai perkara itu, manakala kerajaan Terengganu, Perlis dan Perak menunggu keputusan kerajaan Persekutuan.
 
Terdahulu, Johor dan Kelantan mengambil langkah untuk mengharamkan vape di negeri masing-masing. 


Tiada ulasan: