KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR- Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015 yang dibahaskan di Parlimen semalam memberi kuasa berlebihan kepada Perdana Menteri dan boleh membahayakan kebebasan awam.
Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran berkata, Fasal 18 (1) Rang Undang-undang itu membenarkan Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan mana-mana kawasan di Malaysia sebagai ‘kawasan keselamatan’.
“Rang undang-undang itu memberi kuasa berlebihan di tangan perdana menteri. Ini tidak boleh diterima di bawah sistem demokrasi kita bahawa perdana menteri diberikan kuasa sedemikian,” katanya pada kenyataan media hari ini.
Kerajaan semalam membentangkan rang undang-undang itu untuk memberikan MKN kuasa yang luas bagi menangani isu-isu keselamatan.
Menurut Surendran, tiada had ditetapkan kepada saiz kawasan yang boleh diisytiharkan sebagai kawasan keselamatan di mana sebahagian besar atau seluruh Malaysia boleh diisytiharkan sebagai kawasan keselamatan.
“Di samping itu, Perdana Menteri sendiri selama-lamanya boleh melanjutkan jangka masa enam bulan awal pengisytiharan kawasan keselamatan,” tambahnya.
Apa yang lebih luar biasa, katanya, perdana menteri diberi kuasa yang besar untuk mengisytiharkan kawasan keselamatan apabila ketenteraman awam di bawah kuasa Menteri Dalam Negeri.
“Rang Undang-Undang baru ini tidak perlu dan berlebihan. Terdapat undang-undang yang ketat telah sedia ada menangani ancaman serius kepada negara, termasuk POTA dan SOSMA.
“Tidak ada ancaman kepada negara kita, sama ada dalaman atau luaran, yang membenarkan kuasa-kuasa baru yang drastik,” katanya.
Oleh itu, beliau menggesa kerajaan menarik balik Rang Undang-undang ini secara keseluruhan demi kepentingan orang ramai dan negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan