Oleh: Nadia Hanafi
KUALA LUMPUR - Jawapan kepada persoalan dana RM2.6 bilion yang
dikatakan masuk ke akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Razak menemui kehampaan.
Ini kerana Perdana Menteri sendiri tidak hadir untuk memberi
penjelasan yang telah lama ditunggu oleh rakyat, sebaliknya mewakilkan
timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi menjawab persoalan
tersebut.
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, jawapan
yang diberikan TPM itu tidak memuaskan dan menyifatkan hanya merupakan
satu helah untuk melindungi isu terbabit.
“Jawapannya (yang diberi Zahid) bukan berupa jawapan. Itu merupakan
satu helah yang mengatakan itu subjudis. Ini tidak memuaskan langsung,”
katanya.
Naib Presiden KEADILAN, Shamsul Iskandar pula menyifatkan Najib Razak
sebagai pengecut kerana sepatutnya isu yang melibatnya perlu di jawab
oleh beliau sendiri.
“Saya rasa PM pengecut. Sewaktu TPM jawab, secara jelas mengesahkan
dalam parlimen bahawa duit RM2.6 billion itu dimasukkan ke dalam akaun
peribadi.
“Jadi kalau masuk dalam akaun peribadi ini adalah urusan beliau
sebagai diri sendiri dan dalam peraturan mesyuarat, ada memperuntukkan
seorang Ahli Parlimen itu memberikan penerangan sepertimana apa berlaku
kepada YB Lembah Pantai dalam kesnya,” katanya ketika ditemui.
Sebelum Zahid membacakan jawapan, speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia
melarang ahli parlimen mengemukakan sebarang soalan malah mereka juga
tidak boleh membahaskan jawapan atau penjelasan yang diberikan.
Zahid memberitahu dewan, dana di akaun bank Najib itu kini masih
dalam siasatan dan menjadi perkara yang subjudis jika ia dibincang
kepada awam.
“Ada penyalahgunaan kuasa di parlimen kerana PM tidak berani dan
takut berhadapan dengan dewan rakyat dan menjelaskan kedudukan sebenar
dengan RM 2.6 billion,” kata Shamsul.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan