HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Januari 2016

Himpunan bantah TPPA modal politik PAS - Penganalisis

Oleh Muhammad Asyraf Azlan

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Penganalisis politik Prof. Madya Dr. Azmi Hassan mendakwa, Himpunan Bantah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) Sabtu lalu dijadikan modal politik PAS dalam meraih sokongan daripada akar umbi mereka.
 
Menurut Azmi, setiap isu yang dibawa oleh PAS akan mendapat sokongan daripada ahli akar umbi walaupun isu yang dibawa itu mendatangkan manfaat kepada rakyat dan negara.
 
"Setiap isu yang dibawa oleh kepimpinan PAS itu sokongan akar umbi itu amat penting sekali dan kalau kita lihat perhimpunan membantah Perjanjian Trans-Pasifik (TPPA) semalam itu juga hampir dikatakan 100 peratus adalah sokongan daripada akar umbi PAS. 
 
"Jadi tidak menghairankan ini berlaku kerana setiap perkara kepimpinan PAS yang mahu sokongan akar umbi itu digunakan sebagai modal politik mereka umpamanya untuk membantah TPPA digunakan sebagai modal untuk dikatakan menongkah arus keputusan kerajaan Barisan Nasional (BN). 
 
"Sebab itu dikatakan perhimpunan bantah TPPA itu mendapat sokongan yang agak meluas daripada akar umbi PAS itu sendiri tapi perlu kita tahu bahawa setiap bantahan ataupun sokongan itu perlu ada dalil-dalilnya dan harapannya akar umbi PAS tahu kenapa kepimpinan mereka atau parti membantah perjanjian TPPA itu," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
 
Azmi membuat perbandingan diantara isu bantah TPPA dengan isu kerjasama diantara PAS dan Umno yang jelas menunjukkan bahawa perkara yang dekat dengan hati rakyat marhaen pasti akan mendapat sokongan yang padu.
 
Namun begitu, Azmi menjelaskan meskipun perkara ini membawa kebaikan kepada PAS tetapi disebalik sokongan ini ada juga keburukannya.
 
"Sokongan akar umbi ini dia ada baik dan ada tidak baiknya kerana setiap keputusan itu dikatakan perlu mendapat sokongan akar umbi maknanya keputusan itu berlandaskan kepada bawah ke atas bukan daripada atas ke bawah jadi itu dikatakan ada baik dan ada buruknya. 
 
"Tentang kerjasama diantara Umno dan PAS, jika dilihat kepimpinan tertinggi PAS dalam hal ini bersetuju untuk bekerjasama tetapi akar umbi mereka tidak rasa senang dengan perkara ini sebab itu perkara kerjasama ini terbantut buat seketika," ujarnya.
 
Terdahulu, PAS menyifatkan himpunan membantah TPPA sebagai berjaya dan menganggap ia isyarat bahawa parti itu masih kukuh dan kuat serta diterima baik oleh pengundi.
 
Menurut Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, sokongan yang tidak berbelah-bagi kepada parti itu menunjukkan bahawa PAS masih diperlukan walaupun tidak berada bersama-sama dalam Pakatan Harapan.
  
Beliau berkata demikian berdasarkan kepada mobiliti rakyat di mana parti itu mempunyai sokongan ahli yang ramai di peringkat akar umbi.
 
 

Tiada ulasan: