"Berbanding berkata golongan lelaki perlu dididik
agar menjauhi rogol, kita kini memberikan justifikasi kepadanya dan
membuka ruang lebih luas untuk rogol berlaku pada masa akan datang."
KUALA LUMPUR: Aktivis hak asasi wanita Ivy Josiah berkata, kenyataan PAS bahawa “perkahwinan ubat mujarab” bagi isu rogol statutori hanya akan “membuka pintu” kepada lebih banyak kes rogol pada masa akan datang.
Bekas pengarah eksekutif Women’s Aid Organisation (WAO) itu mengecam keras tindakan parti itu mengeluarkan kenyataan sedemikian, yang menurutnya hanya akan lebih menggalakkan berlakunya kes itu.
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Mohd Khairuddin Aman Razali sebelum ini berkata, “bernikah pula adalah ubat yang paling mujarab disediakan oleh Islam dalam aspek membendung gejala sosial ini.”
Ivy menyifatkan pandangan seumpama itu hanya justifikasi lemah bagi kes rogol statutori.
“Berbanding berkata golongan lelaki perlu dididik agar menjauhi rogol, kita kini memberikan justifikasi kepadanya dan membuka ruang lebih luas untuk rogol berlaku pada masa akan datang. Apa yang akan menghentikan lelaki berumur 40 tahun daripada membuat hubungan seks dengan perempuan berumur 15 tahun.
“Anda hanya wujudkan persekitaran yang menggalakkan perkara ini untuk berlaku,” katanya.
Katanya lagi, sokongan PAS terhadap perkahwinan bawah umur juga bertentangan dengan Konvensyen Hak Asasi Kanak-kanak (CRC) yang disertai Malaysia.
“Tidak munasabah untuk membenarkan anak-anak kita (yang masih bawah umur) berkahwin. Mereka ada hak kepada pendidikan dan mencari jalan hidup sendiri. Adakah kita menganggap lelaki terlalu lemah sehingga tidak mampu mengawal diri dan perlu berhubungan seks dengan kanak-kanak?
“Mereka hanya menjustifikasikan pencabulan terhadap kanak-kanak. Ini sangat membimbangkan,” katanya lagi.
Justeru, beliau menggesa kerajaan persekutuan agar meningkatkan usia perkahwinan kepada 18 tahun, dan memansuhkan kuasa yang diberikan hakim syariah untuk memberikan kebenaran kepada kanak-kanak bawah umur untuk berkahwin.
Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 1987 menyatakan, lelaki berusia kurang daripada 18 tahun dan perempuan berusia kurang 16 tahun tidak dibenarkan melangsungkan atau mendaftarkan perkahwinan kecuali dengan keizinan bertulis Hakim Syariah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan