Roketkini.com
KUALA LUMPUR : Penyelaras DAP Dusun Tua, Young Syefura Othman menyifatkan kerajaan UMNO BN sebagai hilang ‘kewarasan’ kerana membiar rakyat dibelenggu keperitan hidup akibat kenaikan pelbagai kos harian.
Pada masa sama, katanya, kerajaan mengaut RM39 bilion melalui kutipan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sedangkan ia patut disalur semula antaranya sebagai pemberian subsidi pengangkutan awam dan tol.
“Sepatutnya sebahagian kutipan GST itu digunakan untuk mengurangkan beban kewangan rakyat dengan memberi subsidi bagi pengangkutan awam dan bayaran tol,” katanya kepada RoketKini.
Kerajaan Persekutuan sebelum ini mengambil tindakan drastik membenarkan kenaikan kadar tol di lapan lokasi sekitar Lembah Klang, selain membiarkan kadar tambang pengangkutan awam, naik mendadak pada paras tinggi.
Tindakan itu dikecam pelbagai pihak yang turut menyifatkan langkah berkenaan seolah-olah cubaan menghukum rakyat terutama penduduk bandar kerana cenderung menyokong pembangkang.
Menyifatkan kerajaan BN sebagai hilang punca, beliau yang dikenali sebagai Rara berkata kenaikan kadar tambang juga menyebabkan rakyat kehabisan alternatif lain dalam mencari jalan mengatasi kenaikan kos sara hidup.
“Kononnya kenaikan kadar tol bagi menangani masalah kesesakan jalan raya dengan menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam tetapi tambang pengangkutan awam naik, apa lagi pilihan rakyat yang ada?
“Ini menunjukkan kerajaan sedia ada sudah tidak waras, tak punya hati dan perasaan. Kenaikan kos pengangkutan yang mendadak sudah tentu membebankan rakyat, khususnya golongan kelas menengah dan rendah,” katanya.
Memberi sokongan padu terhadap penganjuran demontrasi #shutdownsungaibesi, beliau turut bercadang untuk turut bersama-sama membantah kenaikan kadar tol.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan