HALAMAN SANTAI

Sabtu, 2 Januari 2016

Tahun 2016 lebih mencabar dari tahun lepas

duit
Gambar Hiasan


SHAH ALAM – Masyarakat negara ini akan berdepan dengan cabaran ekonomi yang lebih besar berbanding tahun lalu.

Penganalisis, Dr Muhammad Shamshinor Abdul Azzis berkata, ini kerana rakyat kini terpaksa berdepan dengan kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara diri.

Menurutnya lagi, peningkatan kos sara diri juga menyebabkan berlaku trend peralihan kemiskinan dari luar bandar ke bandar.

“Secara umumnya, cabaran paling besar pada tahun ini adalah cabaran daripada sudut ekonomi. Dulu kalau kita sebut perkataan ‘miskin’, kita akan terbayang masyarakat kampung yang berada di luar bandar.

“Sekarang sudah wujud golongan atau keluarga miskin bandar. Sebelum adanya GST (cukai Barang dan Perkhidmatan) pun sudah berlaku peralihan trend sebegini. Sekarang ia akan nampak lebih jelas,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, katanya, kerajaan perlu merangka semula Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang telah ditetapkan.

Kata Muhammad Shamshinor yang juga merupakan Ketua Kluster Politik dan Polisi bagi Institut Kajian Sosial Selangor, Universiti Selangor, peningkatan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) menunjukkan bahawa kerajaan sedar rakyat perlu dibantu, bagaimanapun langkah tersebut masih belum diambil.

“Kita boleh tengok menerusi program BR1M. Ada kategori E-Kasih dan sebagainya. Itu sebenarnya adalah bantuan kerajaan bagi keluarga yang mempunyai pendapatan isi rumah yang rendah.

“Pemberian BR1M menunjukkan bahawa kerajaan tahu rakyat hidup susah. Jadi sebaiknya kerajaan semak semula PGK yang telah ditetapkan,” katanya lagi.


Tiada ulasan: