KUANTAN: Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh hari ini membuat laporan
polis mendakwa nombor telefonnya telah digodam dan disalah guna oleh
pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menghantar khidmat pesanan
ringkas (SMS) berbaur hasutan kepada individu tidak dikenali.
Katanya akibat daripada perbuatan tidak bertanggungjawab itu beliau
menerima puluhan panggilan telefon serta SMS daripada nombor-nombor yang
tidak dikenali sejak 7 malam semalam, memarahinya kerana menghantar SMS
berbaur hasutan kepada mereka.
"Pada awalnya, saya membalas SMS yang diterima dan meminta maaf selain
meminta mereka menghantar semula SMS yang kononnya daripada saya. Saya
sendiri terkejut dengan apa yang dibaca.
"Saya tidak pernah menggunakan ayat yang ditulis kerana sememangnya itu
bukan cara saya selain semua nombor itu juga tiada dalam simpanan
saya," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat
Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini.
Ahli Parlimen PKR itu mendakwa kejadian serupa pernah dialaminya pada
Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang pada 2014, dan berharap pihak berkuasa
khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dapat menjalankan
siasatan supaya ia tidak berulang.
"Kejadian ini boleh menjejaskan karier politik saya. Menghantar SMS
mengutuk bukan cara saya, tetapi hanya dilakukan mereka yang cetek
pemikiran dan saya harap mereka yang menerima SMS itu tidak terpengaruh
dengan apa yang dibaca,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan