Polis tidak akan meluluskan sebarang permit
bagi penganjuran pesta makanan dan minuman Jerman yang dijadual
berlangsung di sebuah pasar raya di Klang, pada 12 dan 13 Oktober ini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Mazelan Paijan ketika dihubungi
berkata ini kerana festival yang dinamakan ‘Centro German F&B Party’
itu turut menyediakan minuman keras atau arak yang mana arahan telah
dikeluarkan kepada polis untuk menyekat sebarang penganjuran pesta arak.
Polis sehingga kini juga belum menerima sebarang surat permohonan daripada penganjur dan sekiranya ada pihak mendakwa sudah dapat kelulusan, itu adalah surat kebenaran palsu, kata Mazelan.
Semalam, Naib Pengerusi DAP Selangor Datuk Teng Chang Khim berkata pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan untuk membuat keputusan mengikut peraturan serta undang-undang sedia ada berhubung pesta arak atau minuman keras di negeri ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian & Perdagangan, Industri Kecil & Sederhana dan Pengangkutan negeri bagaimanapun berkata kerajaan negeri secara dasarnya menghormati proses demokrasi dan menghormati hak setiap rakyat Selangor tanpa mengira kaum dan agama.
Sebelum ini, Majlis Perbandaran Klang dilapor telah meluluskan penganjuran pesta makanan dan minuman itu tetapi perlu mematuhi beberapa syarat, termasuk melarang kemasukan umat Islam ke kawasan penganjuran acara selain perlu mendapatkan permit daripada pihak berkuasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan