Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Penyertaan dua lagi parti politik bersama PAS dan Parti
Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) ke dalam Gagasan Sejahtera (GAGASAN)
tidak mampu memberikan banyak perbezaan kepada parti pimpinan Datuk Seri
Abdul Hadi Awang itu dalam mendepani pilihan raya umum nanti.
Penganalisis politik Azmi Hassan berpendapat, walaupun bersendirian,
PAS dilihat masih mampu untuk menjadi 'king-maker' kepada Barisan
Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Ujarnya, penyertaan dua parti itu ke dalam GAGASAN hanya menonjolkan
PAS sebagai satu lagi parti dominan seperti yang ada di dalam BN dan PH.
"Bagi saya sama ada PAS itu bersendirian atau bergabung dengan tiga
parti, ianya tidak akan memberi apa-apa perbezaan kerana PAS
bersendirian juga mampu memberi tekanan kepada dua gabungan lain iaitu
Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.
"Kenapa PAS mahu menubuhkan gagasan atau gabungan parti dan tidak mahu
bersendirian adalah untuk menunjukkan mereka (ADA) kuasa politik yang
ketiga selepas Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan dia ada juga
gabungan PAS," katanya kepada Antarapos.
Beliau berkata demikian mengulas kemasukan Parti Cinta Malaysia (PCM)
dan Parti Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) sebagai parti komponen
baru gabungan Gagasan Sejahtera.
Terdahulu, PAS mengumumkan kerjasama politik bersama IKATAN dalam
membentuk blok ketiga yang dikenali sebagai GAGASAN pada Mac tahun lalu.
Malah PAS turut menegaskan akan bertanding pada PRU nanti melalui GAGASAN.
Mengulas lanjut, Azmi bagaimanapun berkata meskipun gabungan PCM,
BERJASA dan IKATAN tidak mampu memberikan kesan yang besar dari segi
politik, namun ketiga-tiga parti itu boleh membantu PAS dalam
mendapatkan 'sokongan persepsi' daripada rakyat.
"Tiga parti ini dari segi sokongan politik, ia mungkin tiada, ada,
tetapi tidak banyak sangat memberi kesan tapi dari segi sokongan
persepsi ia memberi bantuan kepada PAS dan menunjukkan gabungan ini
mempunyai tiga parti yang lain.
"Jadi sebab itu walaupun tiga parti kecil ini tidak memberikan manfaat
dari segi undi politik, tetapi dari segi persepsinya ia mampu memberikan
pandangan bahawa gabungan yang diketuai oleh PAS ini adalah cabaran
yang perlu diberikan perhatian," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan