HALAMAN SANTAI

Selasa, 3 Oktober 2017

Guan Eng minta Syed Saddiq lapor SPRM

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan tawaran RM5 juta yang diterimanya untuk meninggalkan parti.
 
"Saya tidak terkejut (bahawa Syed Saddiq mendakwa ditawarkan rasuah). Dia perlu lapor kepada SPRM. 
 
"Ia termaktub dalam Akta SPRM untuk melaporkan kes rasuah kepada pihak berkuasa," katanya kepada pemberita yang dilapor oleh The Malaysian Insight, hari ini.
 
Guan Eng, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata ramai pihak hendak mengetahui siapakan individu yang dimaksudkan Syed Saddiq semalam, yang didakwa sebagai pembantu kepada Perdana Menteri.
 
"Mengapa media tidak menyiarkan nama pembantu itu?," ujar Guan Eng lagi.
 
Syed Saddiq dalam sidang medianya semalam mendakwa bahawa wujudnya rangkaian dedak yang sistematik sedang digunakan untuk mempengaruhi pemimpin kanan keluar meninggalkan parti.  
 
Beliau juga mendedahkan bahawa tiga pengasas PPBM yang telah keluar parti sebelum ini iaitu Kamarulazman Habibur Rahman, Anina Saaduddin dan Datuk Hamidah Osman adalah individu yang didakwa turut menerima habuan berkenaan.      
 
Syed Saddiq mendakwa beliau ditawarkan RM5 juta untuk mengadakan sidang media mengumumkan beliau akan meninggalkan negara dan memburukkan parti serta pimpinannya.
 
Beliau mendakwa wang itu ditawarkan dengan syarat beliau menyerang bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menter besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
 
Sementara itu Pengerusi PPBM, Dr Mahathir dalam reaksinya terhadap pendedahan Syed Saddiq itu berkata pemimpin muda itu bukan individu pertama yang ditawarkan dengan ganjaran wang.
 
“Ini memang usaha Umnolah. Terutamanya pembantu Najib seorang ni. Dialah orangnya yang selalu cuba beli orang," katanya.
 
Perkara itu juga didakwa Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bahawa ada gerakan untuk membeli beberapa wakil rakyatnya.
 
 

Tiada ulasan: