KUALA LUMPUR: Kerajaan mahu mempertimbang semula tindakan 'buang
sekolah' yang dilakukan terhadap pelajar-pelajar yang bermasalah.
Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri
Rohani Abdul Karim berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan
Kementerian Pendidikan untuk mencari langkah yang lebih proaktif
memandangkan tindakan 'buang sekolah' tidak akan menyelesaikan masalah
terhadap mereka yang bermasalah.
"Apabila mereka dibuang sekolah, tiada sesiapa yang akan bertanggungjawab terhadap mereka selepas itu.
"Justeru, mereka akan menjadi lebih terbiar, tidak terbimbing hingga
terbabit dalam aktiviti-aktiviti yang tidak sesuai termasuk gejala
sosial," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran
Bulan Kaunseling Kebangsaan 2017 di kementerian tersebut di sini.
Rohani memberikan contoh supaya pelajar-pelajar yang bermasalah ini diletakkan dalam sebuah kelas peralihan.
"Di sini pemantauan lebih ketat dapat dilakukan manakala pihak kita
(KPWKM) boleh membantu dengan menyediakan kaunselor untuk membantu
pelajar-pelajar ini," katanya lagi.
Rohani juga memaklumkan satu pasukan khas dibentuk selepas mesyuarat kabinet Rabu lalu.
"Semua kementerian telah diarahkan untuk melaksanakan program
intervensi agar isu sosial melibatkan remaja dapat ditangani," tambahnya
lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan