HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 Oktober 2017

Hishammuddin: Tiada siapa terlepas jika bersalah atas kematian anggota TLDM

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberi jaminan bahawa tiada siapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati bersalah atas kematian dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kelmarin.
 
Menerusi Twitter, Hishammudin berkata beliau sudah mengarahkan TLDM untuk memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
 
"Saya konsisten bahawa tiada sesiapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang jika didapari bersalah. Buat masa ini, biar pihak PDRM teruskan siasatan.
 
"Saya telah arahkan TLDM untuk beri sepenuhnya kerjasama pihak PDRM untuk lakukan siasatan. Tiada perkara akan disembunyikan. Itu janji saya," tulisnya. 
 
 
 
Beliau dalam pada itu turut melahirkan rasa dukacita di atas kematian dua anggota berkenaan serta mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
 
Kelmarin, Laskar Kelas 1, Muhammad Lailal Tuiman Mohd Sukri, 26, dan Laskar Kelas 1, Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, meninggal dunia ketika menjalani latihan semasa ditahan di Bilik Tahanan Unit Komunikasi TLDM, Sungai Wangi, Sitiawan.
 
Laporan bedah siasat terhadap mayat Nik Mohd Baihaqy pada malam tadi mendapati punca kematian adalah pendarahan paru-paru akibat trauma tumpul.
 
Bedah siasat terhadap mayat Muhammad Lailal Tuiman pula mendapati punca kematian adalah pendarahan paru-paru serta trauma pada tisu lembut.
 
Sehubungan itu, polis mengklasifikasi kejadian tersebut sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.
 
Susulan insiden itu, tiga anggota TLDM direman selama seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan. 


Tiada ulasan: