KUALA LUMPUR: Kes lima penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
(UPNM) didakwa membunuh Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain
disebut kali pertama di Mahkamah Tinggi pada 10 November depan.
Tarikh itu diputuskan Penolong Kanan Pendaftar Nur Ain Mustapa ketika pengurusan kes itu, di sini, hari ini.
Lima penuntut yang dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan ialah
Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Azamuddin Md Sofi, Muhammad Najib Mohd
Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri didakwa
membunuh Zulfarhan.
Turut dipindahkan ialah kes ke atas Abdoul Hakeem Mohd Ali yang didakwa
mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat membunuh mangsa,
menurut laporan BH Online.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Akmal Farhan Aziz ketika ditemui pemberita
di luar mahkamah, berkata pihaknya telah menyerahkan sebahagian dokumen
berkaitan kes itu termasuk laporan bedah siasat kepada pihak pembelaan.
Pada 14 Jun lalu, semua tertuduh yang berumur 21 tahun itu didakwa
melakukan kesalahan itu di Bilik 04-10 Blok Penginapan Asrama Jebat,
UPNM Sungai Besi, di sini, pada 21 dan 22 Mei lalu.
Mohd Fadly Hashim, Nurul Syuhada Abdullah, Zamri Idrus dan Joshua Tay bertindak sebagai peguam bela semua tertuduh.
Sementara itu, ibu Zulfarhan, Hawa Osman, 54, berkata bahawa beliau
yang hadir ke mahkamah setiap kali kes disebut akan terus mengikuti kes
berkaitan anaknya itu sehingga selesai.
"Ini satu tanggungjawab saya sebagai seorang ibu bagi mendapatkan pembelaan untuk arwah anak saya," katanya.
Bagi pertuduhan di bawah Seksyen 330 Kanun Keseksaan iaitu sengaja
menyebabkan kecederaan terhadap mangsa yang membabitkan enam tertuduh
itu bersama-sama 13 yang lain akan disebut semula pada 27 Oktober ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan