Oleh Ainor Rahim
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) boleh mencuba nasib sekali lagi
dengan menganjurkan himpunan yang sama diadakan pada Sabtu lalu, kata
pemimpin kumpulan baju merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos.
Beliau berkata demikian berikutan terlalu banyak alasan yang diberikan
pemimpin PH apabila "Himpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi"
gagal mencapai sasaran 100,000 peserta.
“Macam saya kata, kegagalan mereka di Padang Timur bukan kerana PAS dan
sebagainya tapi imej yang mereka bawa itu ke arah (dibayangi) Umno,
macam baju merah.
“Kajian yang kami buat, penyokong PH ini sebati dengan baju kuning.
Jadi mereka boleh cuba sekali lagi bagi orang ramai datang tapi jangan
tukar identiti,” katanya selepas pelancaran Restoran Gabungan NGO
1Malaysia, di Jalan Pahang di sini hari ini.
Ditanya mengapa tidak hadir ke himpunan berkenaan, Jamal secara
berseloroh berkata beliau tidak mahu memeriahkan himpunan berkenaan.
“Dari 4,000 orang, kalau saya datang jadi 4,001 orang. Jadi kenapa nak
meramaikan. Kalau saya tak datang jadi jumlah dia berkurang,” ujarnya.
Himpunan berkenaan dianjurkan PH Sabtu lalu, hambar dengan hanya 10 peratus sahaja daripada jumlah sasaran yang hadir.
Penganjur sebelum ini dalam beberapa sidang media menyatakan keyakinan
bahawa himpunan itu mampu mengumpulkan 100,000 peserta dan ternyata ia
meleset sama sekali.
Ada yang mengaitkan kegagalan himpunan berkenaan berikutan ketiadaan
penyertaan dan sokongan PAS seperti himpunan anjuran pembangkang
terdahulu.
Malah, beberapa penganalisis politik turut berpendapat bahawa himpunan
yang julung kalinya dianjurkan pakatan pembangkang selepas tertubuhnya
PH sebagai penanda aras sokongan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14
akan datang.
Bagaimanapun, beberapa pemimpin PH tampil menepis dakwaan berkenaan
termasuk Naib Presidennya Salahuddin Ayub yang dilaporkan berkata
himpunan tersebut dianggap berjaya ekoran menyaksikan kehadiran
masyarakat berbilang bangsa, kaum dan agama di Padang Timur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan