TAWAU: Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Tawau, Ariffin Kassim menyifatkan
episod direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru
ini bagi membantu siasatan penyelewengan dana di Sabah sebagai iktibar
dalam karier politiknya.
Beliau turut menyokong penuh tindakan SPRM dalam menangani gejala rasuah di negara ini tanpa mengira fahaman politik.
Bagaimanapun, katanya ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian
terutamanya berkaitan Prosedur Operasi Standard (SOP) tangkapan selain
penggunaan pakaian (baju lokap oren) ketika dibawa ke mahkamah.
"Sejak hari pertama lagi ketika diminta hadir di pejabat SPRM untuk
diambil keterangan saya telah memberikan kerjasama sepenuhnya.
"Namun memaksa individu yang ditahan bagi tujuan siasatan memakai baju
lokap berwarna oren, sambil tangan digari adalah satu tindakan yang
mencabul hak asasi manusia dan sebagai rakyat Malaysia," katanya dalam
sidang media di sini.
Arifin berkata, sebagai ahli politik tindakan itu (menggari dan memakai
baju lokap) seolah-olah memberi persepsi dan tanggapan negatif seperti
pesalah walaupun belum dibuktikan bersalah di mahkamah.
"Tindakan itu seolah-olah menghukum kami bersalah atas tuduhan rasuah sedangkan pertuduhan pun masih belum dibuat.
"Selain itu, tindakan itu juga boleh menjejaskan nama baik sebagai ahli
politik bahkan turut memberi kesan kepada institusi pergerakan pemuda
Umno," katanya.
Sehubungan itu katanya, sudah tiba masanya SPRM mengkaji semula SOP
yang dilihat sebagai tidak adil bukan sahaja kepada individu atau ahli
politik malah rakyat keseluruhannya.
Terdahulu kira-kira 200 penyokong dan ahli Umno hadir menyambut
ketibaanya di Lapangan Terbang Tawau, semalam, selepas dibebaskan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan