IPOH: Tiada sebarang insiden pergaduhan yang dikatakan berlaku Tambun
di sini, sehingga menyebabkan seorang lelaki putus tangan sebagaimana
video yang viral di laman sosial hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, berkata
pihaknya tidak menerima laporan polis berhubung kejadian itu sebagaimana
dilaporkan di media sosial kononnya berlaku pergaduhan kaum di sini.
Katanya, polis turut menafikan gambar yang menunjukkan seorang mangsa
putus tangan serta komen yang mengatakan video berkenaan disebabkan
pergaduhan antara kaum Cina dan Melayu.
"Kejadian dalam gambar dan video yang menjadi viral bukan kes yang sama," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Bagaimanapun, Chang Keong berkata, polis menerima dua laporan di dua
lokasi berasingan di Taman Ipoh berhubung isu pergaduhan pada Ahad lalu.
"Kes pertama membabitkan kecederaan terhadap seorang wanita yang
diserang sekumpulan lelaki dan seorang wanita di hadapan sebuah bank di
Taman Ipoh sebelum mangsa membuat laporan polis pada jam 1.30 pagi.
"Susulan kejadian itu, seorang lagi wanita turut diserang sekumpulan
lelaki di hadapan sebuah pusat hiburan di Taman Ipoh sebelum membuat
laporan polis satu jam kemudian.
"Kedua-duanya mendapat kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk kepala, kaki dan leher," katanya.
Chang Keong berkata, siasatan kejadian itu masih dilakukan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Pada masa sama, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan atau menggunakan gambar dan video berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan