Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak
mengingatkan parti-parti komponen gabungan itu untuk bersikap toleransi
dalam soal pembahagian kerusi pilihan raya.
Perkara itu dinyatakan Najib di Taklimat Pemukiman Jentera BN PRU14
yang diadakan secara tertutup di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia
Putra (PWTC) pagi tadi.
Ditemui pemberita, Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata
peringatan Najib itu penting supaya gabungan parti-parti kerajaan itu
mengekalkan kemenangannya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan
datang.
“Untuk mencapai matlamat ini, parti komponen jangan lagi mengekalkan status quo masing-masing.
“Ertinya kalau dahulu mungkin kerusi ini parti A punya akan dikekalkanya sampai bila-bila.
“Seperti yang Presiden BN kata, sudah tiga penggal kekal seperti itu
maka sudah tiba masa untuk kita ubah suai, kerana kedudukan kerusi bukan
hak milik sesuatu parti.
“Tetapi kita kena lihat sama ada Kerusi itu boleh menang atau tidak,
boleh diterima rakyat atau tidak. Untuk menang pilihan raya kita kena
ada semangat BN dan kita perlu bahagi dan kongsi kuasa,” ujar Noh.
Sebelum ini wujud pertikaian berhubung kerusi Parlimen Cameron Highland
milik tradisi MIC, dengan Parti Progresif Penduduk (MyPPP) selepas
Presidennya, Tan Sri M. Kayveas menyatakan hasrat untuk bertanding di
kerusi berkenaan.
MIC bagaimanapun enggan menyerahkan kerusi itu dan tetap mahu meletakkan calon pada PRU14.
Kerusi Parlimen Cameron Highland kini disandang Datuk Seri G. Palanivel yang juga bekas Presiden MIC.
Noh, ketika mengulas berkenaan taklimat Najib juga memberitahu Presiden
yakin dengan keadaan dan sokongan rakyat di Sabah dan Sarawak, walaupun
banyak parti yang mewakili etnik di sana.
“Walaupun ada pelbagai parti tetapi mereka lebih memahami dan
bertoleransi. Di Semenanjung Malaysia ada empat parti dan kita kena
ingat bahawa kita tidak ada kekuatan kalau kita hanya hendak tegakkan
parti masing-masing,” ujar Noh lagi.
Sementara itu Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi berkata
taklimat Najib sebentar tadi membayangkan BN boleh kembali memenangi
majoriti dua pertiga dalam PRU14 akan datang.
“PM sebut perlu dapatkan majoriti dua pertiga dan pada saya ia memang
menjadi hasrat dalam PRU kali ini. Maka program seperti ini sebagai
permulaan awal bagaimana perpaduan dalaman mesti diperkukuhkan bukan
sahaja di kalangan ahli Umno, bahkan di kalangan komponen BN juga,”
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan