shahbudindotcom
Ke mana Shahrir Samad menghilang?
Masihkah beliau ada sebagai Pengerusi Felda atau sudah meletakkan jawatan?
Barangkali
itu soalan yang bermain di fikiran ramai orang ketika ini berikutan
beliau masih gagal memberikan sebarang respon atau jawapan terhadap
beberapa siri pendedahan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Pandan, Rafizi
Ramli berhubung status pemilikan harta-harta Felda di London.
Sudah
lebih seminggu berlalu sejak pendedahan pertama dibuat oleh Rafizi,
namun sehingga ini kita masih belum mendengar lagi sebarang jawapan
balas daripada daripada Shahrir mahu pun Felda.
Mengapa mengambil masa terlalu lama?
Pendedahan Rafizi pada hakikatnya mudah saja - siapa sebenarnya pemilik semua hotel dan harta Felda di London itu?
Kenapa
ia dinamakan atas syarikat yang didaftarkan di British Virgin Island
dan ia pula didapati berbeza dengan syarikat yang tertera dalam laporan
kewangan Felda sendiri?
Berdasarkan
maklumat terbaru yang didedahkan semalam lebih mengejutkan kerana
syarikat yang didaftarkan di British Virgin Island itu sudah dibubarkan
kerana yurannya tidak dibayar, jadi bagaimana dengan harta-harta
tersebut?
Adakah harta-harta itu sudah dipindah-milik kepada syarikat lain atau diletakkan atas nama sesiapa?
Kenapa yuran tahunan syarikat tidak dibayar, sedangkan ia memiliki harta yang bernilai berjuta-juta ringgit?
Susahkah untuk Shahrir memberi semua jawapan kepada pertanyaan mudah Rafizi itu?
Apakah Felda tidak mempunyai fail dan rekod berkenaan harta-hartanya?
Oleh
kerana Shahrir sudah mengumumkan sebelum ini bahawa Felda mahu menjual
semua harta-harta tersebut untuk mengukuhkan aliran tunainya, bagaimana
beliau mahu menjualnya jika pertanyaan tentang siapa pemilik harta pun
tidak mampu diperjelaskan?
Kalau
tidak ketahuan siapa pemilik semua harta itu dan tidak mampu memberikan
jawapan sebagaimana pertanyaan Rafizi, apa sebenarnya yang mahu dijual
oleh Shahrir?
Mungkinkah
semua harta tersebut sebenarnya tidak pernah menjadi milik Felda atau
sudah lama terjual sebelum ini, walaupun duit untuk membelinya datang
daripada kocek Felda?
Adakah
ini yang menjadi punca mengapa Tun Mahathir Mohamad dalam ucapannya di
Himpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi baru-baru ini
mengumumkan dalam tempoh 100 hari selepas Pakatan Harapan mengambil alih
kerajaan, selain RCI 1MDB, RCI Felda juga akan segera ditubuhkan?


Tiada ulasan:
Catat Ulasan