KUANTAN: Polis menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan kes
dera anak mereka berusia 10 tahun di Indera Mahkota, dekat sini, petang
semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh yang dipetik Berita Harian Online
berkata perbuatan itu terbongkar hasil maklumat awam dan pemeriksaan
oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).
"Bapa kanak-kanak itu berusia 35 tahun adalah anggota tentera bertugas
di Kem Batu 10, Jalan Gambang. Hasil siasatan awal mendapati dia
mengikat leher anaknya menggunakan rantai dan mengunci pada tong gas
sebelum ditinggalkan di ruang dapur rumah.
"Polis cuba memasuki rumah itu melalui pintu depan, namun tidak berjaya
kerana dikunci. Mereka kemudian ke bahagian belakang rumah dan
ternampak kelibat kanak-kanak memakai seluar tanpa baju, terbaring tidak
sedarkan diri," katanya, hari ini.
Menurutnya, kanak-kanak itu masih bersekolah di sebuah sekolah rendah di Indera Mahkota.
Katanya, polis kemudian menghubungi Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA)
untuk membawa mangsa mendapatkan rawatan kesan kecederaan pada bahagian
leher akibat dirantai.
Difahamkan, kanak-kanak malang itu hanya tidak ke sekolah kelmarin dan
bapanya yang gagal menahan marah, dipercayai bertindak di luar batasan
dengan menghukum anaknya itu.
Abdul Aziz berkata, pasangan suami isteri berusia lingkungan 30-an itu
kini direman seminggu untuk siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta
Kanak-kanak (Pindaan) 2016.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan