LUMUT: Tempoh reman ke atas dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia
(TLDM) dilanjutkan oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung, Lumut, selama
tiga hari mulai esok.
Tempoh reman empat hari kedua-dua anggota itu mulai 3 Oktober lepas, berakhir hari ini.
Kedua-dua suspek didakwa selepas mendatangkan kecederaan dua rakan
setugas ketika di dalam Bilik Tahanan, Sungai Wangi, Sitiawan minggu
lalu.
Perintah lanjutan ke atas kedua-dua tertuduh yang masing-masing berumur
29 dan 37 tahun dikeluarkan Majistret Ainul Bashiirah Dona Don Biyajid
bagi membantu siasatan mengikut seksyen 325/506 Kanun Keseksaan kerana
mendatangkan kecederaan parah dan melakukan ugutan jenayah.
Kedua-dua tertuduh yang memakai baju lokap berwarna jingga tiba di
perkarangan mahkamah kira-kira pukul 9 pagi dengan menaiki trak polis
sebelum keluar semula kira-kira sejam kemudian.
Kedua-dua anggota itu ditahan susulan dua anggota TLDM membuat laporan
polis pada 2 Oktober lalu selepas mendakwa mengalami kecederaan semasa
menjalani tahanan di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi dan kini masih
ditempatkan di bilik khas di wad pembedahan lelaki, 96 Hospital Angkatan
Tentera Lumut.
Kedua-dua suspek itu antara tujuh anggota yang sudah direman dengan
lima daripadanya disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berikutan
kematian dua anggota pasukan itu di bilik sama pada 29 September lepas.
Jumaat lalu, dua anggota TLDM iaitu LK 1 Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28,
dan LK 1 TLS Muhammad Lailatuliman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia di
bilik tahanan itu dipercayai akibat didera, berdasarkan laporan bedah
siasat Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan