Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengesahkan akan meletakkan
calonnya di Kelantan dan Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)
akan datang.
Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, S. Arutchelvan berkata, untuk penampilan
julung kali di kedua-dua negeri itu, PSM akan meletakkan dua calon di
Pahang manakala hanya seorang calon bakal dipertandingkan di Kelantan.
"Di Kelantan dan Pahang, kami hanya meletakkan dua calon di Pahang dan seorang di Kelantan, jadi (maknanya) tiga calon.
"Di Cameron Highlands buat pertama kalinya kita meletakkan seorang
calon orang asli di DUN Jelai, dan juga di (Parlimen) Cameron Higlands
kita meletakkan Suresh, seorang aktivis yang aktif dalam isu-isu alam
sekitar.
"Di Kelantan pula, PSM meletakkan seorang calon yang cukup popular di
kawasan itu kerana di Kelantan PSM buat banyak kerja dan ramai anak-anak
muda menyokong calon PSM, jadi kita meletakkan seorang calon yang buat
kerja," katanya ketika ditemu bual Antarapos selepas memberikan ceramah
anjuran PSM di Pekan Sri Muda Shah Alam, malam tadi.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan calon dan kerusi mana yang akan menjadi pilihan PSM di negeri pimpinan kerajaan PAS itu.
Ketika ditanya tentang penerimaan pengundi di Pahang dan Kelantan ke atas calon-calon parti itu, ini jawapan beliau.
"Saya rasa kami boleh diterima (di Kelantan), dan ini juga satu ujian
sama ada rakyat di Kelantan boleh menerima dan tanpa mencuba kami tidak
tahu," katanya.
Untuk rekod PSM kini hanya mempunyai kerusi tunggal di Parlimen Sungai
Siput yang dimenangi Dr Jeyakumar Devaraj atas tiket PKR pada PRU
lepas.
Namun PSM gagal mempertahankan kerusi DUN Kota Damansara apabila
pengerusinya, Dr Mohd Nasir Hashim tewas selepas pertembungan tiga
penjuru disebabkan kehadiran calon PAS.
Mengulas lanjut Arutchelvan berkata partinya itu kini sudah bersedia menghadapi saingan empat penjuru dengan mana-mana parti.
Malah menurut bekas Setiausaha Agung PSM itu, beliau melihat saingan
pada PRU kali ini adalah sangat berbeza berbanding PRU13 selepas berlaku
terlalu banyak perpecahan di dalam blok pembangkang.
"Kami rasa pilihan raya ini adalah pilihan raya banyak penjuru, pilihan
raya kali ini bukan di antara dua pilihan, banyak pilihan dan
kemungkinan besar peluang untuk Barisan Nasional menang begitu baik
sekali, itu adalah relaitinya kerana pembangkang berpecah.
"Dan saya rasa tidak ada satu semangat untuk membawa semua pembangkang
bersama kerana isu Amanah dan PAS tidak boleh selesai," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan