SEREMBAN: Seorang penganggur bertindak nekad membakar diri sendiri
selepas isterinya meminta cerai dalam kejadian di Taman Seri Pagi,
Senawang di sini, tengah malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Sulizmie Affendy
Sulaiman, berkata sebelum kejadian kira-kira 12.03 tengah malam itu
berlaku, lelaki yang berusia 46 tahun dan isterinya berusia 40-an
bergaduh.
Difahamkan punca pergaduhan sehingga si isteri meminta cerai ekoran
merasa terbeban apabila terpaksa menanggung perbelanjaan rumah berikutan
suaminya tidak bekerja.
"Selepas bergaduh, lelaki itu keluar dari rumah dan membawa pulang
botol berisi petrol, lalu menyimbah bahan itu di badannya dan menyalakan
api menggunakan pemetik api.
"Kejadian itu turut disaksikan dua anak pasangan itu," katanya di sini, hari ini.
Sulizmie Affendy berkata, akibat tindakan nekadnya, lelaki itu melecur seluruh badan.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini menggunakan ambulans.
Kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh diri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan